Program Felo Perdana lahir generasi belia lebih dinamik - Utusan Malaysia

Program Felo Perdana lahir generasi belia lebih dinamik

PLATFORM Felo Perdana yang dibuka pada April setiap tahun memberi ruang kepada belia untuk berfikir secara kritis dan dinamik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

ALHAMDULILLAH, syukur ke hadrat Allah SWT kerana saya telah dilantik sebagai Felo Perdana kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di Kementerian Kesihatan bersama-sama dengan seorang lagi rakan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Ng Peng Han.

Ini merupakan satu peluang yang amat bermakna kepada saya sebagai seorang graduan dari Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) untuk sama-sama belajar dengan lebih sistematik.

Walaupun bidang akademik yang dipelajari berbeza dengan kementerian yang diterima, ia tidak menjadi satu bebanan kerana pengalaman boleh diperoleh daripada pelbagai cara.

Program ini sememangnya dapat memberikan satu nilai tambah dan peluang kepada golongan belia agar lebih dinamik serta memahami sistem pentadbiran kerajaan yang diketuai oleh seorang menteri di setiap kementerian.

Mengikut pengalaman daripada Alumni Felo Perdana ini, ada sebahagiannya berjaya dalam kerjaya politik dan ada juga yang telah menjadi menteri.

Dalam masa sama, kami turut dilibatkan secara langsung dengan tugasan di Parlimen yang dapat memberikan pendedahan pembelajaran dan ilmu perundangan kepada belia.

Persepsi

Felo Perdana ini merupakan satu saluran terbaik untuk golongan belia agar dapat melihat sendiri proses dalam membuat dasar dan polisi yang harus dilaksanakan oleh kerajaan demi kebaikan semua pihak tanpa mengira agama, kaum dan parti politik setiap wakil rakyat.

Sebagai generasi belia alaf baharu, kita seharusnya berfikir secara rasional dalam membuat tindakan dan bukan terus menghukum tanpa asas kukuh.

Belia juga perlu memastikan maklumat diterima ditapis bagi memastikan kesahihannya sebelum dihebahkan kepada masyarakat. Dengan adanya pendekatan ini, ia mampu mengubah persepsi masyarakat terhadap sesuatu perkara yang dilakukan.

Saya berterima kasih kerana terpilih dalam program ini sekali gus membuktikan bahawa pemilihan yang dijalankan oleh badan pengendali iaitu Kementerian Belia dan Sukan amat telus dan penuh integriti bagi melahirkan generasi belia pemikir yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Saya juga menyeru golongan siswa dan graduan di luar sana, rebutlah peluang keemasan ini untuk turut serta bagi tahun-tahun akan datang dengan menghantar permohonan di laman web rasmi myfelo.kbs.gov.my yang dibuka pada April setiap tahun. – UTUSAN

AHMAD LUKMAN RUSLI, Felo Perdana Kementerian Kesihatan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya