Perlu rasional bincang isu kepenggunaan

Perlu rasional bincang isu kepenggunaan

Rakyat terutama umat Islam dinasihatkan terap gaya hidup sederhana ketika menghadapi kenaikan kos harga barang diramal mencapai 10 peratus tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TERDAPAT pelbagai faktor yang mengakibatkan kenaikan harga barang sekarang termasuk kejatuhan nilai ringgit, perang Russia-Ukraine, kenaikan kos makanan mentah dan kos pengimportan serta logistik yang semakin meningkat.

Kenaikan harga bukan sahaja melibatkan bahan makanan tetapi juga perumahan, bahan api, pengangkutan, penyelenggaraan dan kesihatan.

Penyelarasan antara kementerian, agensi, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penting agar polisi dan strategi ekonomi serta kepenggunaan dapat dirancang, dipantau, dilaksana dan dinilai berdasarkan realiti kehidupan seharian rakyat. Ini bagi mengelak tindakan tidak holisitik dan kurang inklusif.

Inisiatif-inisiatif seperti Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) dan pembentukan majlis-majlis seperti Majlis Pemulihan Ekonomi, Majlis Tindakan Ekonomi dan Majlis Kos Sara Hidup jelas menunjukkan bahawa isu kepenggunaan dan kos sara hidup dipandang serius oleh kerajaan tetapi sama ada usaha-usaha ini berkesan untuk menangani isu-isu kepenggunaan perlu dikaji semula.

Ekosistem harga barangan dipengaruhi oleh faktor-faktor makroekonomi yang kebanyakan di luar kawalan kerajaan dan melibatkan lebih daripada satu kementerian.

Hubungan kompleks dan rumit antara pelbagai elemen rangkaian harga barangan perlukah dijelaskan dan jaringan pemegang taruh yang menyeluruh perlu dibentuk untuk meningkatkan kebolehlaksanaan dan keberkesanan sebarang inisiatif.

Penglibatan belia dalam pemeliharaan hak pengguna dan menyokong inisiatif kerajaan pusat adalah penting kerana ia merupakan satu agenda bersama.

Golongan belia yang masih belajar, baru menjadi graduan atau baru memasuki alam pekerjaan dan berada dalam kategori berpendapatan rendah (B40) atau sederhana (M40) jelas terkesan dengan kenaikan harga barangan.

Kementerian Belia dan Sukan dan Majlis Belia Malaysia (MBM) bekerjasama untuk menggerakkan Skuad Sukarelawan Belia yang berobjektif untuk menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak kerajaan dalam memastikan kepentingan pengguna dilindungi serta terpelihara.

Jalinan hubungan strategik ini membolehkan sukarelawan belia dimobilisasikan dengan lebih berkesan dan pemantauan melibatkan kawasan yang lebih luas.

Ini boleh membantu pencegahan peningkatan harga barang yang tidak munasabah dan melengkapkan mekanisme laporan insiden-insiden sebegini.

MBM berharap inisiatif sukarelawan belia ini dapat menjadi pelengkap kepada inisiatif sedia ada.

Penglibatan belia dalam isu kepenggunaan patutlah diberikan sokongan kerana mereka berpotensi memainkan peranan yang lebih proaktif dalam agenda kepenggunaan bukan sahaja dalam pemantauan tetapi juga advokasi, peningkatan kesedaran dan lain-lain mengikut kapasiti individu dan persatuan masing-masing.

Keprihatinan terhadap isu-isu kepenggunaan perlu dilengkapi dengan pengetahuan yang berdasarkan fakta dan bukti. Terdapat banyak ilmu yang boleh dipelajari untuk menjadi seorang pengguna bijak, contohnya kefahaman terhadap Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Ia juga melibatkan pengetahuan bahagian-bahagian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang terlibat dalam pelbagai aspek kepenggunaan seperti perancangan, penyelarasan, pemantauan dan penguatkuasaan serta aplikasi Price Catcher untuk perbandingan harga.

Kita harus mengharungi cabaran ini secara proaktif dan bukan hanya membuat aduan, keluhan atau dakwaan semata-mata. Lihatlah isu kepenggunaan secara rasional dan bukan beremosi.-UTUSAN

EOW SHIANG YEN
Tim balan Pengerusi Biro Perpaduan, Integrasi Nasional dan Kepenggunaan MBM

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya