Pelik ada pejabat penyelaras MCA di Tanjong Malim

Pelik ada pejabat penyelaras MCA di Tanjong Malim

MAH Hang Soon (kanan) melancarkan Pejabat Penyelaras MCA Parlimen Tanjong Malim di Bidor, Perak pada 5 Julai lalu. – IHSAN PEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEBAGAI ahli kepada parti komponen Barisan Nasional (BN), saya berasa janggal apabila MCA mewujudkan Pejabat Penyelaras Parlimen Tanjong Malim, Perak sekali gus mengetepikan kepimpinan bahagian di situ.

Pelancaran pejabat itu disempurnakan oleh Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr. Mah Hang Soon pada 5 Julai lalu.

Ramai tertanya-tanya ke mana perginya MCA Bahagian Tanjong Malim? Adakah masih wujud atau sebaliknya sehingga terpaksa diwujudkan satu badan lain bagi menyelaras kempen parti itu di Parlimen berkenaan?

Dalam suasana BN sedang memulihkan kekuatan dan meneruskan momentum menggalakkan seperti di Melaka dan Johor, sepatutnya semua parti perlu mengelakkan sebarang ketegangan.

Perpecahan yang berlaku boleh menghakis keyakinan penyokong, tidak kira parti mana pun sama ada UMNO, MCA atau lain-lain. Ahli Parlimen Tanjong Malim sekarang ialah Chang Lih Kang yang juga Naib Presiden PKR.

Tindakan MCA Pusat itu seolah-seolah menggambarkan kepimpinan di peringkat kebangsaan dan bahagian tidak sehaluan.

Sebagai pengundi setia BN, saya berharap janganlah ada lagi parti komponen BN yang kurang cakna dalam menyusun strategi sehingga menjejaskan usaha untuk merampas semula kerusi yang kita kalah ini.

Kita tidak mahu lagi menerima nasib seperti Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 di mana BN kalah kerusi Parlimen Tanjong Malim yang sejak merdeka tidak pernah tewas.

Sebelum itu, calon MCA sentiasa menang walaupun hakikatnya majoriti pengundi ialah orang Melayu. Belajarlah daripada kekalahan itu dan elak melakukan perbuatan yang membangkitkan kebencian pengundi.

Tunjukkan kepada rakyat bahawa MCA mengutamakan penyatuan dan bukan perpecahan. – UTUSAN

ZABIDI ZAKARIAH
Pengundi setia BN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya