SAUDARA PENGARANG,
PERALIHAN negara ke fasa endemik memberi sinar baharu kepada seluruh rakyat untuk menjalani kehidupan seperti sedia kala terutama mahasiswa.
Pun begitu, kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi (IPT) menjadi salah satu punca peningkatan kemalangan di kampus.
Ini kerana mungkin pelajar terkena ‘kejutan budaya’ setelah lama berkurung di rumah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Kemalangan boleh mewujudkan perasaan trauma dan takut kepada seseorang untuk menunggang motosikal atau memandu kenderaan semula untuk ke kelas.
Oleh itu, pelajar yang kembali semula untuk menimba ilmu ke kampus diminta lebih berhati-hati serta fokus ketika memandu kenderaan. Ikutlah peraturan ditetapkan termasuk patuhi had laju yang dibenarkan.
Sementara bagi pejalan kaki juga harus sentiasa berhati-hati dan jangan dibuai keseronokan berbual bersama rakan sehingga membahayakan diri selain sentiasa peka dengan keadaan sekeliling. Ini kerana selain kenderaan pelajar dan pensyarah, ia juga menjadi laluan bas yang digunakan oleh pelajar untuk ke kuliah. Sentiasalah menggunakan jejantas jika ada untuk melintas.-UTUSAN
WAN NURUL HANA SAMSUDIN
Pelajar Komunikasi Media Baharu
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)