Muzik boleh pengaruh tingkah laku remaja

Muzik boleh pengaruh tingkah laku remaja

WALAUPUN muzik dapat mengubah diri seseorang, tetapi jangan sehingga terjerumus dalam pengaruh negatif.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MUZIK merupakan pelengkap kehidupan kepada remaja kerana ia dapat menghiburkan perasaan, emosi dan memberi motivasi.

Malah dengan teknologi moden membolehkan orang ramai menerima kemudahan dan akses untuk menstrim lagu kegemaran menggunakan pelbagai peranti dan alatan (gadget).

Remaja boleh memilih untuk mendengar lagu yang derap atas (upbeat) atau yang bertempo laju sekiranya mahu bermotivasi. Hal ini kerana muzik berfungsi untuk memanipulasikan otak manusia mengikut melodi. Sebagai contoh, bit seminit (BPM) atau ukuran rentak sesuatu lagu memainkan peranan sangat penting dalam meningkatkan dan mengurangkan denyutan nadi pendengar.

Remaja yang cenderung untuk mendengar lagu bertempo laju, mungkin mahu adrenalina mereka meningkat untuk memotivasikan diri manakala yang suka mendengar lagu bertempo rendah, berkemungkinan mahu untuk rasa tenang.

Hal ini dapat dibuktikan melalui penggunaan lirik dan instrumental sesuai yang dapat menyampaikan mesej serta memberi impak dari segi emosi kepada pendengar. Mereka boleh boleh mendengar genre seperti hip-hop serta rhythm and blues.

Genre lagu seperti ini secara liriknya memainkan perasaan pendengar dengan memberi manifesto, sejarah, pengalaman buruk dan baik penyanyi lagu itu. Secara tidak langsung, pendengar yang mempunyai sejarah dan pengalaman yang sama berkaitan cinta, keperitan atau kejayaan hidup akan merasakan diri mereka difahami orang lain.

Genre muzik seperti house, electro dan dubstep mempunyai kadaran 130 BPM. Hal ini, jelas membuktikan bahawa kadar rentak seperti ini sesuai jika ingin bersukan atau ke festival.

Namun begitu, penggunaan masa yang berlebihan untuk mendengar muzik akan menghasilkan perasaan fanatik terhadap lagu atau artis. Pengaruh buruk daripada lagu-lagu yang didengari akan merosakkan jati diri seseorang remaja. Terdapat remaja yang sangat mengidolakan seseorang artis sehingga mereka sanggup menghabiskan wang saku semata-mata untuk membeli barang dagangan, tiket konsert, album dan sebagainya.

Bagaimanapun, seseorang remaja perlu bersederhana dalam meminati muzik dan artis bagi mengelak sindrom memuja selebriti (CWS). Ini kerana sindrom itu boleh menyebabkan remaja mengalami halusinasi, putus asa dan bermasalah dalam hidup.

Pun begitu, mendengar muzik masih lagi relevan dan digalakkan untuk menyuntik perasaan yang positif kepada emosi. Muzik dapat mengubah diri seseorang individu tetapi jangan dibiarkan ia menelan diri kita hingga terjerumus dalam pengaruh negatif.-UTUSAN

MOHAMAMD FARIS FIRDAUS SABRI
Program Komunikasi Media Baharu
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN