SAUDARA PENGARANG,
ANTARA punca utama kematian dalam kalangan rakyat Malaysia adalah penyakit kardiovaskular (gangguan pada jantung dan pembuluh darah).
Dalam konteks ini, jantung yang terhenti di luar hospital menyumbang kepada sebahagian besar jumlah kes penyakit kardiovaskular dan keadaan ini sering mendatangkan maut.
Jantung terhenti mengejut (SCA) pula adalah kejadian kecemasan yang berlaku apabila jantung berhenti secara tiba-tiba.
Apabila jantung berhenti berdenyut, darah yang mengandungi gas oksigen tidak dapat dipam dari jantung ke otak, paru-paru dan organ tubuh manusia lain.
SCA lazimnya berlaku tanpa amaran dan boleh mengakibatkan mangsa terus pengsan dan tidak bernafas. Akibatnya, kematian akan berlaku seandainya tiada bantuan segera.
Resusitasi kardiopulmonari (CPR) ialah prosedur pertolongan cemas yang digunakan untuk memulihkan pernafasan dan pengaliran darah seseorang. Ia merupakan satu kaedah rawatan asas yang mampu menyelamatkan nyawa mangsa SCA.
CPR merangkumi kaedah tekanan dada dan pemberian bantuan pernafasan mulut ke mulut. Menurut kajian antarabangsa, kadar kebarangkalian mangsa SCA untuk diselamatkan akan menurun sebanyak 10 peratus sekiranya CPR dilengahkan bagi setiap minit.
Sebelum pandemik Covid-19 melanda, CPR selalu diberi kepada mangsa yang mengalami keadaan jantung yang terhenti di luar hospital. Kini, CPR dikatakan berisiko tinggi kerana komponen CPR dikategorikan sebagai prosedur yang menghasilkan hembusan pernafasan yang tinggi.
Selain itu, orang awam akan berasa ragu untuk membantu orang lain kerana takut akan pendedahan tanpa sengaja kepada virus Covid-19.
Demi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan dalam mempelajari kaedah CPR semasa era Covid-19, teknik yang lebih sesuai telah dititikberatkan oleh beberapa organisasi profesional.
Bertenang
Dalam hal ini, pemberian bantuan CPR dengan tekanan dada sahaja atau dikenali sebagai CPR tangan sahaja disyorkan kepada orang awam kerana ia tidak melibatkan bantuan pernafasan mulut ke mulut.
Pemakaian pelitup muka untuk menutup bahagian mulut dan hidung juga disyorkan dalam kalangan penyelamat untuk mengurangkan risiko penyebaran jangkitan Covid-19.
Bagaimanapun, pemberian pemberian bantuan pernafasan mulut ke mulut ada kepentingannya pada situasi tertentu dan masih diperlukan untuk segelintir mangsa yang jatuh pengsan disebabkan apabila jantung berhenti secara tiba-tiba, terutamanya golongan kanak-kanak.
Bayangkan terdapatnya individu (mungkin orang yang dikenali dan dikasihi) jatuh pengsan di hadapan anda tanpa denyutan jantung, sila kekal bertenang dan jangan panik. Hubungi 999 dengan segera untuk mendapatkan pertolongan dari pihak yang berkaitan.
Jikalau anda pernah mempelajari teknik CPR konvensional, anda boleh memberi bantuan CPR dengan tekanan dada sahaja. Hal ini penting kerana anda tidak mengetahui sama ada mangsa tersebut sedang dijangkiti Covid-19.
Hasil kajian telah mendapati bahawa pemberian bantuan CPR dengan tekanan dada sahaja bawah tempoh empat minit dari masa kejadian adalah hampir sama keberkesanannya dengan CPR konvensional.
Seperti yang disyorkan oleh Persatuan Jantung Amerika, orang awam boleh memberi bantuan CPR dengan tekanan dada sahaja jikalau mereka tidak mempunyai pengalaman CPR konvensional.
Ini sementara menunggu bantuan pasukan perubatan tiba di tempat kejadian. Alatan automatedexternal defibrillator (AED) juga boleh digunakan untuk melengkapkan kaedah CPR.-UTUSAN
DR. YAP JUN FAI, PROFESOR DR. MOY FOONG MING & DR. LIM YIN CHENG, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM)