Jangan ‘bertiktok’ semasa mengajar di sekolah - Utusan Malaysia

Jangan ‘bertiktok’ semasa mengajar di sekolah

GURU harus sentiasa komited dalam pekerjaan yang dilakukan supaya kredibiliti sebagai seorang pendidik anak bangsa terus dihormati seperti zaman dahulu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEMENJAK kewujudan media sosial seperti TikTok, ramai yang mahu mengikut trend. Ini termasuk golongan guru dengan merakam aksi pelajar ketika sesi pengajaran dan pembelajaran sedang berlangsung lalu memuat naik di aplikasi tersebut.

Umumnya, tidak salah untuk bermain media sosial. Tetapi menggunakannya di dalam kelas dan pada waktu mengajar adalah sangat tidak wajar apatah lagi untuk kepentingan peribadi atas dasar suka-suka.

Dalam pekeliling yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan bagi penjawat awam berkenaan media sosial, guru dilarang untuk menggunakan media sosial bagi tujuan peribadi ketika waktu pejabat, sama ada menggunakan peranti milik sekolah mahupun peranti peribadi.

Kredibiliti seorang guru akan dipersoal sekali gus menyebabkan keikhlasannya untuk mengajar dipertikaikan selain fokus utamanya sudah beralih ke skrin telefon.

Profesion perguruan ialah kerjaya yang sangat disanjungi masyarakat kerana tugas mulia guru mendidik anak bangsa menjadi insan yang berjaya dan berguna untuk masa hadapan. Oleh sebab itu, guru perlu menunjukkan contoh yang baik kepada pelajar kerana mereka ibarat ibu bapa ketika di sekolah.

Tindak-tanduk seseorang guru pasti akan memberi kesan kepada perilaku anak muridnya. Jadi, adalah lebih baik untuk mereka menjalankan tugas hakiki iaitu mendidik dengan menumpukan sepenuh perhatian dan menjadi contoh yang baik.

Selain itu, guru juga haruslah mempunyai disiplin yang tinggi dalam menjalankan tugas. Mahu tidak mahu, mereka harus bijak mengimbangi kewajipan antara tuntutan kerjanya dengan keinginan menggunakan media sosial.

Akhir sekali, guru perlu sentiasa komited dalam pekerjaan yang dilakukan supaya kredibiliti sebagai seorang pendidik anak bangsa terus dihormati seperti zaman dahulu. – UTUSAN

AMIERA AIEDA, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya