Jadilah pemimpin yang berkarismatik, matang - Utusan Malaysia

Jadilah pemimpin yang berkarismatik, matang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BERSETUJU dengan penulisan Zukiferee Ibrahim bertajuk Transformasi organisasi perlu berterusan dalam ruangan ini bertarikh 7 Jun lalu bahawa perlunya transformasi berterusan dalam perkhidmatan bagi membolehkan organisasi kekal relevan dan mampu bersaing sebagai tindak balas terhadap perkembangan semasa.

Pemimpin bukan hanya pada nama, pangkat atau imbuhan yang diterima. Dalam Islam, pemimpin mempunyai kedudukan tertinggi sehinggakan setiap pengikut atau rakyat wajib patuh kepada pemimpin (pemegang kekuasaan) seperti dalam al-Quran, surah An-Nisa ayat 59.

Rakyat dan pengikut pula harus faham akan kewajiban untuk patuh kepada pemimpin. Oleh itu, pemimpin perlu meletakkan kedudukan mereka selari dengan amanah dan tanggungjawab.

Ciri umum yang biasanya perlu ada pada seorang pemimpin adalah berintegriti dalam menjalankan tugas, menghargai perhubungan terutama sesama rakan kerja dan sesama manusia.

Biarpun pemimpin mempunyai autoriti tertinggi dalam organisasi, namun kebolehan pemimpin mendengar dan menerima teguran daripada sesiapa sahaja asalkan memberi manfaat kepada matlamat pentadbiran.

Pemimpin juga perlu berani mengambil risiko dan bertanggungjawab terhadap keputusan mahupun tindakan diambil. Kematangan bukan diukur semata-mata berdasarkan usia sebaliknya banyak dipengaruhi oleh pengalaman.

Sebab itu tidak mustahil jika ada pemimpin muda yang lebih berkarismatik dan matang. Kematangan juga dilihat ketika mengurus emosi dan konflik, menerima teguran dan menghormati serta menghargai perbezaan pendapat.

Pemimpin matang lebih bijak menyusun strategi dan menjadikan segala perbezaan atau teguran sebagai kekuatan untuk penambahbaikan sesuatu perkara.

Mencontohi kematangan Rasulullah SAW, berpolitik dengan matang ialah mengutamakan keperluan dan permasalahan umat, rasional, tenang dan berfikiran terbuka terhadap kritikan atau idea. Malah pemimpin matang tidak terkesan dengan provokasi untuk mengeruhkan keadaan.

Pemimpin yang matang sentiasa berkorban untuk organisasi dan pengikut, mendahulukan keperluan dan mengutamakan potensi serta pembangunan kerjaya pengikut berbanding diri sendiri kerana mempunyai satu ideologi bahawa mereka bertanggungjawab untuk melatih dan melahirkan seberapa banyak pemimpin lain.

Nilai kematangan ini dapat memberi inspirasi, motivasi dan menjadi suri teladan kepada ahli-ahli lain sekali gus mewujudkan sebuah organisasi yang berdaya tahan dan terus kekal relevan. – UTUSAN

KHAIRUNESA ISA, Jabatan Sains Sosial, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya