SAUDARA PENGARANG,
BERJUTA-JUTA umat Islam dari serata dunia termasuk Malaysia baru sahaja selesai menunaikan rukun Islam kelima, iaitu ibadah haji.
Ibadah haji pada tahun ini adalah lebih bermakna kerana sudah dua tahun umat Islam tidak dapat menunaikannya kerana penularan virus Covid-19 sejak 2020.
Mengerjakan haji adalah wajib bagi setiap umat Islam yang mampu dari segi kesihatan serta kewangan untuk menunaikannya dengan mengunjungi dan melaksanakan beberapa bentuk ibadah yang telah ditetapkan di beberapa tempat di Mekah serta kawasan-kawasan berhampiran dengannya pada Zulhijah, bulan terakhir dalam kalendar umat Islam.
Dalam menunaikan ibadah haji, pelbagai bentuk ritual perlu dilakukan oleh jemaah bagi memenuhi syarat seperti berihram dengan niat untuk haji, berwukuf di Arafah dan tawaf mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali.
Dalam melaksanakan dan menunaikan segala aspek ibadah, adalah penting para jemaah haji memahami tujuan sebenar sesuatu ritual itu dibuat.
Para jemaah haji tidak boleh hanya melaksanakan segala ibadah tanpa memahami dengan mendalam tujuan atau objektif sebenar sesuatu ritual itu.
Adalah dibimbangi sekiranya para jemaah hanya menunaikannya tanpa memahami dengan mendalam tujuan utama sesuatu ritual itu dilakukan, ibadah haji mereka akan menjadi sia-sia dan tidak membawa sebarang makna.
Segala aspek ritual dalam ibadah haji ini mempunyai tujuan, objektif serta maksud tertentu dan bukan dilaksanakan untuk tujuan suka-suka sahaja.
Ritual yang telah ditetapkan sepanjang ibadah haji bertujuan melatih umat Islam supaya menjadi lebih merendah diri, berdisiplin serta berakhlak baik.
Rempuhan
Ibadah haji juga menuntut umatnya supaya menjadi lebih bersabar, saling bekerjasama, bertoleransi dan hormat-menghormati antara satu sama lain. Ia juga melatih umat Islam supaya lebih bersopan santun dan berbudi bahasa.
Sekiranya segala perkara ini dapat difahami dengan baik oleh para jemaah, insiden buruk yang sering dikaitkan ketika menunaikan ibadah haji dapat dihindari seperti kejadian rempuhan dan tolak-menolak sehingga berlaku kecederaan.
Tiada guna sekiranya jemaah berjaya memenuhi segala syarat ibadah haji tanpa memahami tujuan atau objektif sebenar di sebalik setiap ritual yang dibuat.
Proses menunaikan haji juga bukan hanya melibatkan jemaah Malaysia, sebaliknya berjuta-juta umat Islam dari serata dunia yang datang menunaikan ibadah haji di kota suci Mekah.
Ini adalah detik penting untuk semua umat Islam datang berkumpul dan saling mengenali antara satu sama lain. Inilah peluang utama untuk para jemaah haji bertegur sapa dan menghulurkan sebarang jenis bantuan yang perlu sesama mereka tanpa mengira latar belakang dan warna kulit.
Ia juga penting sebagai sebahagian daripada proses dakwah kepada orang bukan Islam di serata dunia yang melihat perjalanan ibadah haji ini melalui kaca televisyen dan media sosial di negara mereka.
Semoga Allah SWT melindungi keselamatan dan kesihatan semua jemaah haji yang sedang dalam perjalanan pulang ke tanah air dan mudah-mudahan mereka beroleh haji mabrur. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)