SAUDARA PENGARANG,
PEMERHATIAN serta tinjauan kami yang menggunakan laluan simpang di Balai Polis Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang mendapati keadaan lalu lintas di situ sangat sibuk sepanjang hari serta kerap berlaku kemalangan sehingga menyebabkan banyak kes kematian dicatatkan.
Lebih dikesalkan, masih ada segelintir pemandu yang bersikap mementingkan diri sendiri apabila tidak memberhentikan kenderaan ketika pelajar sekolah melintas menyeberangi jalan untuk ke Kolej Tingkatan Enam Desa Murni. Malah, pernah terjadi kemalangan membabitkan pelajar.
Jika diletakkan lampu isyarat di simpang Balai Polis Sungai Dua hanya akan memburukkan lagi keadaan kerana jarak antara persimpangan terlalu dekat sekali gus menyebabkan kesesakan teruk hingga ke susur keluar Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dan Butterworth.
Merumitkan lagi keadaan apabila terdapat penunggang motosikal yang menunggang secara melulu malah ada yang suka menyelit sehingga menyukarkan penglihatan pemandu yang datang dari arah bertentangan untuk membelok masuk ke simpang sama ada ke kiri atau kanan.
Kami bukan mahu menafikan usaha pelbagai pihak yang membangunkan pusat-pusat perniagaan baharu di kawasan berhampiran, malah kami berterima kasih atas usaha itu. Cuma kami mahukan sistem pembangunan yang dilaksanakan itu biarlah terancang serta seiring dengan pelebaran jalan di simpang Balai Polis Sungai Dua kerana ia merupakan laluan utama bagi pengguna kenderaan yang datang dari arah Padang Serai, Tasek Gelugor dan Merbau Indah Jaya.
Adalah diharapkan pihak yang bertanggungjawab terhadap pembangunan daerah Seberang Perai Utara dapat merangka pelan untuk jangka panjang bagi mengatasi masalah penyuraian aliran trafik yang semakin mendesak.
Antara cadangan atau alternatif yang boleh dipertimbangkan oleh pihak-pihak terlibat ialah menyediakan laluan bertingkat, bulatan lencongan ataupun dibina jalan pintas yang menggunakan jalan tepi menuju susur keluar Jalan Sungai Dua ke lebuh raya PLUS dan Butterworth.
Ini membolehkan pengguna kenderaan yang datang dari Padang Serai atau Tasek Gelugor tidak perlu lagi menggunakan jalan besar Sungai Dua atau melalui persimpangan Balai Polis Sungai Dua.-UTUSAN
CUCU TOK JANGGUT
Pulau Pinang