SAUDARA PENGARANG,
SALAH satu perkhidmatan kesihatan yang biasa diperoleh rakyat ialah pemeriksaan mata secara berkala untuk mendapatkan cermin mata baharu yang sepadan dengan keperluan mereka.
Lebih 22 peratus rakyat melawat pakar oftalmologi sekurang-kurangnya sekali setahun untuk menjalankan pemeriksaan mata demi kesihatan optimum. Pengamal penjagaan mata juga menyediakan pelbagai perkhidmatan optik berbeza termasuk pengurusan kawalan miopia kanak-kanak, dispensi kanta tambahan progresif, kanta sentuh khusus dan banyak lagi bagi memenuhi keperluan visual setiap individu.
Ramai yang masih tidak mengetahui bahawa kanta sentuh adalah peranti perubatan yang mesti dipreskripsi oleh pakar penjagaan mata bertauliah bagi mengelak sebarang risiko seperti jangkitan kuman dan memastikan keselesaan optimum.
Terdapat beberapa keadaan mata yang boleh dirawat menggunakan kanta sentuh termasuk orthokeratologi. Bagaimanapun, anda perlu sentiasa merujuk kepada pakar penjagaan mata untuk penentuan kanta sentuh terbaik berdasarkan kelengkungan kornea, keadaan permukaan mata dan tabiat gaya hidup anda.
Tambahan pula, nasihat pakar juga diperlukan semasa memilih kanta sentuh guna semula bagi mengekalkan keselesaan dan keselamatan sewaktu pemakaian.
Selain itu, masalah penglihatan kanakkanak sering diabaikan kerana mereka terlalu muda untuk mengadu atau memahami sifat sebenar penglihatan yang jelas atau kabur.
Ada juga kejadian sesetengah ibu bapa tidak mengambil perhatian serius apabila si kecil mengadu tentang masalah penglihatan mereka. Ini pula akan menyebabkan penglihatan si kecil menjadi semakin teruk setelah dewasa.
Kanak-kanak, sama dengan orang dewasa juga terdedah kepada risiko penyakit mata seperti retina terkoyak, makulopati (kemerosotan makula), dan gangguan penglihatan binokular seperti strabismus (mata juling) dan amblyopia (mata malas).
Jawapan terbaik bagi kanak-kanak yang menghadapi masalah mata adalah untuk mendapatkan cermin mata bagi membetulkan penglihatan mereka. Bagaimanapun, kanakkanak mungkin tidak memahami kepentingan pembetulan yang diperlukan ini.-UTUSAN
PENGAMAL PENJAGAAN MATA YANG DIPERCAYAI
Kuala Lumpur