Benarkah gaji minimum punca inflasi meningkat? - Utusan Malaysia

Benarkah gaji minimum punca inflasi meningkat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KERAJAAN telah menetapkan gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan mulai 1 Mei lalu iaitu 25 peratus lebih tinggi daripada paras sebelum ini. Sebenarnya ia dijangka meninggalkan dua kesan utama.

Pertama, ia menyebabkan permintaan buruh akan jatuh dan penawaran buruh pula bertambah. Akibatnya pengangguran akan meningkat.

Kedua, peningkatan upah akan menyebabkan kos pengeluaran meningkat. Ini akan menyebabkan inflasi apabila harga-harga dipindahkan oleh pengeluar kepada pengguna. Reaksi awal kepada pelaksanaan gaji minimum ini tidak positif. Sektor swasta mungkin tidak bersedia melaksanakannya kerana kenaikan kos pengeluaran.

Ini juga mungkin disebabkan persepsi negatif terhadap kesan gaji minimum. Bagi pendukung sistem pasaran, mereka berpendapat upah minimum mengherotkan sistem pasaran buruh dan pengagihannya tidak optimum.

Bagi sesetengah pihak, mereka merasakan keputusan melaksanakan gaji minimum ini mungkin tidak sesuai dengan waktunya kerana gaji minimum dikatakan menyebabkan pengangguran bertambah dan inflasi meningkat.

Pada masa ini, kesan-kesan negatif daripada pandemik Covid-19, gangguan dalam rantaian bekalan, kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia serta peperangan Russia-Ukraine sudah cukup memberi kesan negatif kepada pengangguran dan inflasi.

Oleh kerana kesan-kesan negatif ini, ramai pembaca yang bertanya tentang rasional pelaksanaan gaji minimum. Rasionalnya adalah untuk menampung kos sara hidup.

Gaji yang ditentukan oleh pasaran terlalu rendah dan tidak dapat menampung kos sara hidup yang telah meningkat tinggi. Pelaksanaan gaji minimum ini boleh membawa kita keluar dengan cepat daripada kancah kemiskinan.

Monopsoni

Bagaimanapun, kenaikan gaji akan menjadi peyumbang kepada inflasi jika ia dinaikkan dengan banyaknya dan tidak seimbang dengan daya pengeluaran buruh. Kenaikan gaji buruh di Malaysia adalah dianggap seimbang dengan peningkatan daya pengeluaran atau produktivi mereka.

Pakar ekonomi, Douglas McTagget, Christopher Findley dan Michael Parkin dalam buku mereka bertajuk Economics menyatakan bahawa dalam pasaran monopsoni (keadaan pasaran apabila barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh beberapa orang penjual dibeli oleh seorang pembeli sahaja) pelaksanaan gaji minimum boleh meningkatkan permintaan kepada pekerja.

Bagaimanapun, dalam keadaan sekarang, andaian pasaran monopsoni dalam pasaran buruh sukar diterima. Pengalaman di Eropah menunjukkan dalam jangka panjang pelaksanaan gaji minimum meningkatkan lagi permintaan buruh.

Ini kerana majikan sedia membuat pelaburan dalam pekerjaan dan ini meningkatkan produktiviti buruh yang dengan sendirinya menambah permintaan kepada pekerja.

Selain itu, upah memberi semangat kepada pekerja. Oleh itu, pelaksanaan gaji minimum boleh dianggap sebagai satu insentif kepada buruh atau pekerja-pekerja bekerja lebih kuat atau menarik mereka ke dalam sesuatu bidang. Ini boleh mempercepatkan kadar pertumbuhan ekonomi.

Kesimpulannya, pelaksanaan gaji minimum memberi banyak kebaikan daripada keburukan. Kesan positifnya mungkin boleh dirasai dalam jangka masa panjang. – UTUSAN

NASARUDDIN ARSHAD, Bekas pensyarah ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN