Utamakan kontraktor tempatan dalam projek mega

Utamakan kontraktor tempatan dalam projek mega

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MERUJUK berita muka depan Utusan Malaysia bertajuk Dominasi warga asing terbitan 17 Mei lalu mendedahkan bahawa sektor pembinaan dan perusahaan di negara ini semakin dikuasai warga asing yang dilihat mula mengancam ‘periuk nasi’ kontraktor tempatan khususnya bumiputera.

Isu besar adalah berkaitan kontraktor tempatan sukar mendapat tenaga kerja selain buruh kontrak asing lebih suka ‘angkat sub’ dengan tidak lagi mahu makan gaji dengan kontraktor tempatan. Bagi mereka, bekerja sendiri lebih membawa keuntungan.

Amalan ini kurang sihat dan tidak patut dibiarkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) kerana tidak memberi sebarang faedah kepada negara.

Ini kerana kerajaan membuka ruang untuk membawa masuk pekerja asing dalam sektor binaan tetapi akhirnya mereka bergerak sendiri dan mengaut keuntungan besar ataupun lebih gemar bekerja dengan majikan daripada negara asal yang sudah lama berada di Malaysia.

Ekoran mendapat kepercayaan daripada pelanggan, buruh asing terutama daripada Bangladesh mampu mula mengupah pekerja mahir daripada Indonesia sementara kerajaan pula ‘sibuk’ membawa masuk 500,000 pekerja daripada Bangladesh yang akhirnya merosakkan industri pembinaan tempatan.

Sekiranya terus dibiarkan tanpa kawalan daripada CIDB, fenomena ini boleh menyebabkan kontraktor bumiputera pupus dan akan menyebabkan anak muda semakin tidak minat bekerja di tapak pembinaan.

Justeru, kerjasama antara CIDB dan Jabatan Imigresen perlu untuk mengatasi perkara ini dan jika mana-mana pekerja asing bekerja secara sendiri tanpa majikan tempatan perlu dihantar pulang ke negara asal.

Kempen kesedaran juga perlu diperbanyakkan agar orang ramai cakna dengan isu ini dan tidak mengambil upah kontraktor asing. Selain itu, CIDB perlu berperanan untuk melatih anak muda sebagai tenaga kerja yang dapat dibekalkan kepada kontraktor tempatan.

Pihak kerajaan dan swasta perlu mengutamakan kontraktor tempatan dalam projek-projek mega bagi menyokong dan membantu kontraktor negara ini untuk terus bertahan di tanah air sendiri. – UTUSAN

MOHD. ZUL, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN