Tertekan dengan SMS minta bayar balik pinjaman

Tertekan dengan SMS minta bayar balik pinjaman

TINDAKAN pihak bank yang mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai peringatan secara bertalu-talu boleh mengganggu emosi pelanggan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEJADIAN kes bunuh diri dengan terjun daripada jambatan Pulau Pinang acap kali dilaporkan menerusi media massa sama ada mangsa bernasib baik setelah berjaya diselamatkan atau lemas.

Pun begitu, tiada pihak yang mampu membendung kes bunuh diri yang semakin menunjukkan trend peningkatan malah ia kini dianggap suatu fenomena yang membimbangkan.

Tidak pasti faktor atau punca yang mendorong mangsa mengambil jalan pintas dengan cubaan membunuh diri tetapi wujud kemungkinan mangsa menerima gangguan scammer, panggilan daripada bank atau ah long.

Ini kerana pihak bank kerap memeras ugut peminjam yang didapati tertunggak bayaran dengan mengirimkan khidmat pesanan ringkas (SMS) bertubi-tubi tanpa henti sehingga menyebabkan pelanggan mereka tertekan dan terganggu dari segi emosi.

Sepatutnya pihak bank perlu lebih bertimbang rasa memandangkan rakyat kini masih lagi terkesan akibat pandemik Covid-19 terutama bagi mereka yang kehilangan sumber pendapatan.

Sudahlah pelanggan diganggu dengan SMS, dalam masa sama akaun pula disekat serta-merta sehingga menyebabkan mereka tidak dapat lagi melakukan sebarang transaksi selagi tunggakan tersebut tidak dilunaskan.

Keadaan sama ini hampir terjadi ke atas ahli keluarga saya yang tertunggak bayaran balik pinjaman selama sebulan. Nasib baik ketika itu pinjaman tersebut dapat diselesaikan walaupun hampir menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Pada hemat saya, apa yang dilakukan oleh pihak bank yang menggunakan kaedah ugutan bagi mengutip hutang adalah tidak berhati perut dan boleh dianggap seperti ceti haram.

Semoga Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Bank Negara Malaysia mengambil perhatian serius terhadap mana-mana institusi kewangan yang didapati bersikap seolah-olah ceti haram dan tidak berperikemanusiaan terhadap pelanggan. – UTUSAN

CUCU TOK JANGGUT, Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN