SAUDARA PENGARANG,
KHAMIS ini, keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 akan diumumkan. Mungkin ramai akan berduka mengenangkan keputusan anak-anak yang tidak seberapa.
Sebagai ibu bapa, yakinlah bahawa anak-anak kita telah berusaha sebaik mungkin untuk melakukan yang terbaik.
Walau apa pun gred keputusan mereka, terima dengan hati yang terbuka. Ibu bapa harus sentiasa memberi dorongan dan sokongan tanpa berbelah bahagi.
Ini bagi memastikan anak-anak kita sentiasa bersemangat untuk menempuh hari-hari mendatang yang penuh dengan cabaran.
Isu remaja tertekan, murung dan bunuh diri disebabkan keputusan peperiksaan bukanlah sesuatu yang baharu. Ia sangat serius. Isu ini bukan sahaja menjurus kepada remaja yang memiliki keputusan kurang baik.
Malah, remaja yang memiliki keputusan cemerlang juga mempunyai permasalahan sama. Ia berlaku kerana kurangnya sokongan dan dorongan daripada ahli keluarga.
Berdasarkan kajian, terdapat peningkatan jumlah remaja yang mengalami kemurungan. Statistik mendapati kes melibatkan remaja bunuh diri meningkat sebanyak 20 peratus pada 2020 berbanding 2019.
Kebanyakannya disebabkan oleh faktor tekanan jiwa dan emosi yang teruk. Kurangnya didikan agama juga merupakan isu utama kepada permasalahan ini.
Remaja terdorong membuat keputusan terburu-buru kerana kurangnya perhatian daripada ahli keluarga terutama apabila ibu bapa sibuk bekerja dari rumah pada 2021.
Sebagai ibu bapa, kita harus bersifat adil kepada anak-anak. Di usia remaja, mereka masih memerlukan dorongan dan sokongan kita.
Janganlah kita menjadi terlalu pentingkan diri dan mengejar pangkat sehingga melupakan tanggungjawab kepada anak-anak.
TEKANAN
Ramai yang beranggapan bahawa keputusan SPM adalah segala-galanya dan merupakan kunci kejayaan untuk masa hadapan. Namun, sebagai ibu bapa, kita seharusnya lebih bersikap terbuka dan tidak terlalu berharap.
Sekiranya anak-anak tidak mampu memenuhi harapan kita, jangan bersikap endah tak endah. Jadilah pendengar setia kepada mereka.
Kita sentiasalah menyuntik kata-kata semangat supaya anak-anak tidak terdorong untuk mengambil keputusan terburu-buru yang akan membahayakan diri mereka.
Sebagai individu paling rapat dengan anak-anak, ibu bapa haruslah mendekati dan lebih memahami permasalahan mereka.
Ini kerana anak-anak berdepan dengan tekanan jiwa bagi menyesuaikan diri ketika mengikuti sesi pembelajaran dan pengajaran dalam talian buat kali pertama.
Tidak dinafikan, anak-anak bertambah tertekan disebabkan sistem pendidikan yang terlalu menumpukan kepada gred akademik.
Cukuplah tekanan yang diterima daripada rakan-rakan sebaya yang lebih cemerlang. Janganlah kita sebagai ibu bapa menambah tekanan kepada mereka disebabkan gred akademik kurang cemerlang.
Justeru, peranan ibu bapa adalah sangat penting dalam mengurangkan tekanan yang dihadapi anak-anak. Mereka haruslah sentiasa menerapkan unsur-unsur keagamaan dalam urusan harian.
Ini mampu melahirkan anak-anak yang bijak menguruskan emosi dan berfikiran waras dalam sesuatu tindakan yang akan diambil.
Sokong anak-anak walau apa jua keputusan peperiksaan mereka. SPM bukanlah titik pengakhiran tetapi ini baharu titik permulaan kepada dunia sebenar. – UTUSAN
DR. SITI NORIDA WAHAB & DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor