SAUDARA PENGARANG,
NEGARA baru-baru ini digegarkan dengan berita kematian seorang pegawai perubatan yang tertekan dipercayai terjatuh dari asrama didiaminya.
Pegawai perubatan graduan merupakan modal insan dan mereka adalah aset negara.
Justeru, perkara ini perlu ditangani dengan baik bagi memastikan ia tidak lagi berlaku pada masa hadapan.
Majikan juga perlu menunjukkan perasaan empati apabila pekerja mereka berasa tertekan, risau atau burnout.
Pekerja perlu dijelaskan mengenai jangkaan jenis dan jumlah tugasan serta prestasi yang dikehendaki syarikat. Majikan wajar menyediakan bahan, peralatan dan maklumat agar mereka dapat bekerja dengan selesa dan menyelesaikan tugasan dengan pantas.
Berikan penghargaan dan pengiktirafan. Biasanya, pekerja akan lebih bertenaga, kreatif dan boleh diharap apabila mereka dipuji.
Sementara itu, perlu ada pusat dalam organisasi yang menjaga kesihatan mental pekerja. Pusat ini boleh menganjurkan pemeriksaan mental setiap tahun. Manamana pekerja yang gagal dalam pemeriksaan mental perlu menjalani terapi sama ada oleh kaunselor atau pakar psikiatri.
Organisasi juga perlu memberikan sokongan dari segi kewangan agar pekerja tidak berasa terbeban. Walaupun tidak banyak yang boleh diberikan oleh organisasi, sekurang-kurangnya keprihatinan yang dicurahkan majikan dapat menenangkan fikiran dan perasaan pekerja.
Pendek kata, sokongan dari segi emosi, maklumat dan fizikal adalah penting bagi pekerja untuk dapat menyumbang tenaga, fikiran dan masa mereka kepada organisasi.
Ini penting bagi daya saing dan kelestarian organisasi pada masa akan datang.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. ILHAAMIE ABDUL GHANI AZMI
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya