Sepatutnya agensi kerajaan jadi pengganti kartel - Utusan Malaysia

Sepatutnya agensi kerajaan jadi pengganti kartel

ISU kartel mampu ditangani jika agensi kerajaan berkaitan dapat memainkan peranan dengan berkesan untuk menjadi orang tengah bagi membeli, menyimpan dan memasarkan produk. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEKURITI makanan merujuk kepada kemampuan individu atau masyarakat mendapatkan sumber makanan serta nutrisi harian yang mencukupi.

Berdasarkan laporan Indeks Sekuriti Makanan Global (GFSI) 2021, Malaysia berada di kedudukan ke-39 dengan 70.1 mata dengan peningkatan sebanyak 6.4 mata berbanding 2020.

Walaupun berdasarkan indeks itu, Malaysia berada di hadapan negara-negara ASEAN lain, namun kita masih berada di belakang Singapura dengan 77.4 mata.

GFSI diukur melalui kemampuan perolehan makanan, kesediaan makanan, sekuriti dan kualiti makanan. Justeru, beberapa langkah strategik perlu dipertimbangkan dalam memastikan sekuriti makanan di Malaysia terus terjamin dan tidak terjejas.

Pengukuran GFSI amat berkait rapat dengan pengurusan rantaian bekalan barangan bagi mengawal kenaikan harga makanan. Penguatkuasaan serta pemantauan yang terhad kepada proses jual beli sahaja tidak mampu untuk mengawal kenaikan harga makanan yang mendadak.

Penguatkuasaan terhadap keseluruhan proses yang terlibat dalam rantaian makanan melibatkan pembekal, pembuatan dan logistik dapat membendung manipulasi harga oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Kewujudan kartel atau orang tengah dalam rantaian makanan juga memberi impak negatif kepada kenaikan harga barang makanan.

Hal ini kerana kartel bertindak mengaut keuntungan serta memanipulasi harga barangan mentah, sekali gus memberi kesan kepada harga akhir produk makanan.

Antara langkah proaktif bagai mengekang kewujudan kartel adalah agensi kerajaan memainkan peranan sebagai orang tengah untuk membantu memasarkan produk dengan kos terkawal.

DRON

Agensi terlibat juga perlu memainkan peranan dalam memberi latihan kepada semua pihak yang terlibat dalam rantaian bekalan seperti pengangkutan dan logistik, kawalan mutu kualiti produk serta khidmat pelanggan.

Di samping itu, isu kebergantungan industri makanan tempatan kepada tenaga buruh asing perlu diatasi. Dianggarkan 75 peratus pekerja dalam sektor perladangan ialah buruh asing.

Kebergantungan kepada tenaga buruh asing ini bertambah kritikal sewaktu pandemik Covid-19 melanda apabila ramai mengambil keputusan untuk pulang ke negara asal.

Kekurangan tenaga kerja di sektor perladangan memberi impak negatif kepada hasil pengeluaran tanaman dan bahan mentah. Hal ini menyebabkan harga produk makanan melambung ekoran permintaan dan penawaran tidak seimbang.

Justeru, Kementerian Sumber Manusia perlu memikirkan formula strategik bagi mengurangkan kebergantungan industri makanan dan perladangan kepada tenaga buruh asing serta dapat memupuk minat pekerja tempatan untuk bekerja di sektor perladangan.

Langkah ini dapat meminimumkan aliran wang keluar negara sekali gus dapat mengukuhkan nilai mata wang ringgit serta mampu mengawal inflasi.

Dasar Pandang ke Timur (DPT) yang diperkenalkan sejak 40 tahun lalu berpotensi menjadi penyelesaian kepada pihak industri dan kerajaan dalam mengawal kenaikan harga barangan makanan yang mendadak.

Sebagai contoh, Jepun memilih untuk memberi fokus kepada teknologi pertanian untuk memastikan sekuriti makanan negara itu terjamin.

Adaptasi teknologi dalam sektor pertanian seperti penggunaan dron bagi mengawal serangga perosak mampu meningkatkan hasil pengeluaran dan kualiti produk pertanian. Kaedah itu mampu meningkatkan simpanan bekalan makanan. – UTUSAN

DR. ARIFF AZLY MUHAMED & DR. MOHD. ZAMRI ABU BAKAR, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya