SAUDARA PENGARANG,
UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) tersenarai di tangga ke-148 terbaik di Asia dalam Times Higher Education Asia University Ranking 2022 yang diumumkan baru-baru ini.
Tahun lalu, UUM berada di kedudukan ke-155 dan pada 2020 berada antara 251 ke 300 di Asia.
Saya yakin pengumuman ini pastinya menggembirakan semua warga universiti.Kejayaan ini adalah hasil kerjasama dan sokongan semua pensyarah, pentadbir, kumpulan sokongan, pelajar dan mereka yang sentiasa memberi sokongan sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Lonjakan demi lonjakan secara konsisten yang ditunjukkan setiap tahun ini pastinya membanggakan memandangkan sukar untuk mendapat tempat dalam senarai universiti terbaik dunia, apatah lagi di Asia.
Setiap kejayaan pastinya tidak mampu dicapai tanpa sokongan padu daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang sentiasa memberi dukungan dan sokongan.
Untuk rekod objektif UUM ditubuhkan adalah untuk mengembangkan dan memajukan pendidikan pengurusan.
Program akademiknya tertumpu kepada bidang-bidang pengurusan, perakaunan, ekonomi, teknologi maklumat, pentadbiran awam, pengurusan sumber manusia, keusahawanan, kewangan dan perbankan, undang-undang, pemasaran, pengurusan teknologi, linguistik terapan dan komunikasi.
Ia juga melibatkan bidang kerja sosial, multimedia, pendidikan, sains pemutusan, hal ehwal antarabangsa, pengurusan perniagaan, pelancongan, pentadbiran muamalat, pengurusan pembangunan, logistik dan pengangkutan, hospitaliti, pengurusan risiko dan insurans, teknologi media, perniagaan tani, matematik perniagaan, statistik industri dan kaunseling.
Sebelum ini, UUM pernah menduduki tempat ke-131 dalam QS Asia University Rankings 2018, menduduki antara tempat ke-101 dan 150 dalam QS Top 50 Under 50 2019 dan juga antara ke-601 dan 650 dalam QS World University Rankings 2019. – UTUSAN
PROFESOR DR. HAIM HILMAN ABDULLAH, Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM)