Rasuah punca jalan berlubang? - Utusan Malaysia

Rasuah punca jalan berlubang?

JALAN berlubang dan tidak rata adalah fenomena biasa di Malaysia. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin memberi pandangan tentang video tular baru-baru ini tentang seorang penunggang motosikal warga asing meluahkan perasaan kurang senang dengan keadaan jalan raya di Malaysia kerana terdapat banyak lubang yang boleh membahayakan pengguna.

“Ramai tertanya-tanya, bagaimana Peru yang merupakan sebuah negara miskin mampu mempunyai jalan yang baik. Sementara itu, pihak berkuasa Malaysia tidak boleh menjaga rakyat sendiri dengan membaiki jalan berlubang,” kata mat salih tersebut.

Secara umum terdapat beberapa kategori jalan raya di Malaysia iaitu jalan kampung, jalan bandaran, jalan Persekutuan dan lebuh raya.

Semua jalan berkenaan terletak di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan negeri atau Kerajaan Persekutuan.

Jika dilihat di Malaysia, semua ceruk dapat dihubungi dengan jalan raya. Bagaimanapun, aspek kualiti jalan itu sendiri yang dikritik oleh penunggang dari luar negara terbabit.

Pada pemerhatian saya, masalah-masalah jalan raya di negara ini adalah berlubang sana sini, keretakan yang menunggu masa untuk pecah, permukaan senget dan tidak rata, terlalu nipis, tampalan tidak sempurna, bahu jalan terlalu rendah dan garisan putih tidak jelas atau tiada langsung.

Bagi saya, sikap kontraktor yang membina dan menyelenggara memainkan peranan utama untuk mendapatkan kualiti jalan raya yang baik dan bukan faktor cuaca.

Pakar Keselamatan Jalan Raya, Profesor Madya Dr. Law Teik Hua pernah menyebut, masalah cuaca dan suhu tinggi merupakan antara punca jalan raya mudah rosak seperti air boleh menyerap masuk melalui celah di antara agregat (bahan campuran) dan asfalt.

Akibat tekanan tayar, bitumen menjadi rapuh, retak dan seterusnya merosakkan jalan.

CUACA

Jadi, pihak berkuasa perlu juga mengkaji cara untuk mengelakkan air masuk di celah agregat dan asfalt seperti menggunakan bahan lebih kuat dan memperkenalkan adunan standard yang sesuai dengan keadaan cuaca di Malaysia.

Semasa penyelenggaraan jalan raya terutama kerja-kerja penurapan, Jabatan Kerja Raya (JKR) perlu memantau dan memastikan kontraktor mengikut standard ditetapkan untuk memanjangkan jangka hayat turapan.

Sering kali selepas jalan raya ditampal atau diturap, dalam beberapa jam sahaja lapisan tar itu pecah dan kelihatan kesan tayar kenderaan.

Seterusnya, lapisan tar itu terus hilang apabila hujan turun dan mewujudkan lubang. Tidakkah situasi ini membahayakan pengguna jalan raya dan membazirkan wang sahaja?

Sudah sampai masanya kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan memandang serius aspek kualiti jalan raya kerana ia adalah kemudahan asas untuk rakyat.

Kita tidak boleh menyekat pembangunan tetapi apabila sesetengah tempat jalannya rosak dan perlukan pembaikan, rakyat mengharapkan tindakan segera daripada JKR dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Selain itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bertindak dan membuat penyiasatan terhadap kontraktor penyelenggaraan untuk memastikan ketelusan dalam kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya yang dibuat tidak ala kadar sahaja.

Janganlah kos dibayar tidak sepadan dengan hasil kerja dibuat. Akhir sekali, kita berbangga mempunyai rangkaian jalan raya setanding negara maju, tetapi turut malu dengan kualitinya yang berada di tempat ke-21 dunia. – UTUSAN

ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya