SAUDARA PENGARANG,
PELAJAR merupakan harta yang bernilai bagi bangsa dan negara kerana mereka adalah bakal pemimpin pada masa depan.
Menyedari hakikat itu, sistem pendidikan telah mengikut ketetapan Falsafah Pendidikan Negara ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu.
Ini untuk mewujudkan insan seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.
Oleh itu, usaha yang berterusan perlu dibuat untuk memberikan pendidikan yang sewajarnya kepada pelajar bagi memastikan mereka mendapat ilmu berguna dan dapat membentuk keperibadian mulia.
Sekolah merupakan institusi amat penting dalam negara. Peranannya bukan hanya mendidik malah lebih daripada itu, generasi pemimpin masa hadapan ini akan dibentuk jati dirinya dan semangat cintakan negara selain daripada memberikan pendidikan akademik dan kemahiran.
Sejak kebelakangan ini, kita digemparkan denga isu yang tidak pernah ada penghujungnya iaitu buli. Ia menjadi barah dalam sistem pendidikan kita dan akan memberi kesan bukan sahaja secara fizikal malah emosi secara berterusan.
Buli sering ditakrifkan sebagai penyalahgunaan kuasa yang sistematik oleh rakan sebaya dan ia diiktiraf di peringkat global sebagai masalah yang kompleks dan serius yang perlu diatasi.
Perbuatan buli didapati memberikan kesan yang serius dan berpanjangan bukan sahaja kepada mangsa malah kepada saksi dan pembuli itu sendiri.
Antara kesan buli terhadap mangsa adalah prestasi akademik merosot disebabkan hilang minat untuk belajar, ponteng kelas kerana takut, suka menyalahkan diri sendiri dan tidak yakin terhadap kebolehan dan potensi diri.
Kesan buli terhadap pembuli pula adalah mereka mungkin terlibat dengan jenayah lebih serius apabila dewasa kelak.
Bagi saksi insiden buli, mereka turut menerima implikasi menyaksikan perbuatan tersebut seperti berasa bersalah kerana tidak dapat membantu mangsa. – UTUSAN
HUSNIZAM HOSIN, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Segamat