SAUDARA PENGARANG,
KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia 2021 telah pun diumumkan. Jumlah peratus lulus dan Gred purata sekolah menunjukkan peningkatan. Ini menunjukkan proses pembelajaran terus berlaku walaupun pandemik melanda hampir dua tahun yang memberi kesan kepada calon-calon peperiksaan itu.
Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) menjadi lanskap pembelajaran Vuca. Kini, pelajar telah kembali ke sekolah secara bersemuka. Penjaga dan ibu bapa terus berperanan untuk memastikan pelajar dapat belajar seperti sediakala.
Peranan ibu bapa dalam menangani pembelajaran kendiri ketika keberadaan murid di rumah pastinya tidak boleh dinafikan. Ini menunjukkan institusi keluarga merupakan tunjang kukuh dalam mempersiapkan generasi masa depan bersama didikan awal ibu bapa.
Pengurusan masa dan disiplin anak-anak berkait rapat dengan peranan penjaga serta kepentingan ilmu. Pengalaman mendidik fasa pandemik menjadi teladan membentuk jati diri pelajar. Pelajar yang ingin berjaya perlu berdiri pada asas ilmu dengan menghargai nilai dan akhlak.
Kesinambungan iklim pembelajaran perlu disambut oleh sekolah sebagai pentas pendidikan formal. Guru sebagai pemudah cara perlu memahami latar belakang pelajar dan potensi yang boleh dibangunkan. Secara tidak langsung sekolah mempunyai jaringan dan kolaborasi institusi sosial bagi mengukuhkan nilai-nilai asas yang dibina oleh institusi keluarga.
Peranan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) penting sebagai jambatan penghubung antara sekolah dan komuniti. Kejayaan pelajar adalah manifestasi permuafakatan antara sekolah dan masyarakat. Semua layak mendapat penghargaan dan pengiktirafan.
Guru, Ibu bapa dan masyarakat boleh memberi maklumat yang tepat untuk anak-anak yang belum berjaya meneruskan pembelajaran melalui saluran yang betul. Kegagalan hari ini merupakan kejayaan tertangguh untuk mereka yang berusaha dan berazam untuk berjaya pada masa hadapan.
Mesej kejayaan mestilah didendangkan kerana setiap pelajar mempunyai potensi tersendiri untuk menyumbang kepada kemakmuran negara. Institusi keluarga dan sekolah adalah pelengkap dalam menanamkan sifat jaya diri pelajar.-UTUSAN
TUMIN YATMAN
Pengetua Cemerlang SMK Dato Abdul
Rahman Andak, Simpang Rengam, Johor