SAUDARA PENGARANG,
HAMPIR tiga bulan lamanya kerosakan jalan raya yang menjadi laluan utama pengguna kenderaan pergi dan balik di Kampung Teluk, Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang didapati terbiar begitu sahaja tanpa ada sebarang tindakan meskipun aduan telah dibuat beberapa kali kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah supaya dibaiki dengan kadar segera.
Ini kerana keadaan jalan itu amat berbahaya lebih-lebih lagi ia menjadi laluan utama penduduk sekitar selain dikhuatiri boleh membawa kecelakaan pada waktu malam.
Malah, ia boleh mengancam nyawa penunggang motosikal yang banyak melalui kawasan tersebut.
Lebih dikesali, jurucakap JKR Seberang Perai Utara memaklumkan pembaikan jalan yang rosak perlu menunggu giliran sedangkan jika dilihat, wujud keperluan segera untuk memperbaikinya.
Adakah ini bermakna JKR mahu samakan keperluan memperbaiki kerosakan jalan raya yang boleh membawa kepada kecelakaan pemandu dan penunggang motosikal dengan pelanggan yang mahu berurusan di kaunter? Di manakah slogan Jasa Kepada Rakyat yang dibanggakan JKR?
Untuk makluman, laluan tersebut sangat sibuk dan agak sempit. Selain itu, di kiri mahupun kanan jalan terdapat banyak gerai makanan yang popular kerana kawasan itu dikenali sebagai lembah atau lubuk menjamu selera.
Harap perkara ini mendapat perhatian serius daripada pihak-pihak berkaitan dengan tidak memandang ringan aduan rakyat.
Janganlah setelah sesuatu perkara buruk berlaku barulah mahu mengambil tindakan. – UTUSAN
CUCU TOK JANGGUT, Pulau Pinang