SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencadangkan kenderaan di negara ini yang mempunyai had usia tidak lebih 10 tahun bagi menangani masalah kesesakan jalan raya dan pencemaran bunyi serta udara di ibu kota.
Kenderaan yang telah melepasi had usia itu perlu dilupuskan supaya tidak berada di jalan raya dan polisi tersebut bertujuan menyeimbangkan jumlah antara yang baharu dan lama.
Mengulas perkara itu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, cadangan melupuskan kenderaan yang melepasi had usia 10 masih tidak sesuai dilaksanakan di negara ini.
Beliau berkata, antara yang perlu diambil kira adalah jaringan pengangkutan awam yang belum sempurna di seluruh negara termasuk di kampung-kampung. Malah, jaringan lengkap projek transit aliran massa (MRT) di Lembah Klang pun masih belum siap dibina.
Sebenarnya idea tersebut bukan suatu yang baharu diutarakan bagi memastikan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan penduduk. Namun, persoalan besar yang timbul adalah bagaimana untuk memastikan sesuatu dasar awam yang baharu diterima baik oleh golongan sasar tanpa bantahan.
Pendekatan strategi menang dan menang perlu dijadikan sebagai salah satu jalan terbaik bagi merealisasikan cadangan berkenaan. Contohnya, beberapa negara maju seperti Jerman, Jepun, Korea Selatan, China dan jiran kita Singapura memiliki rantaian perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap, pantas dan selamat meliputi pelbagai lokasi.
Selain itu, pengguna tidak harus dibebankan dengan kos melupuskan kenderaan yang tinggi. Caj kemudahan pelupusan yang berpatutan dikenakan kepada pengguna dapat meringankan beban itu seperti diamalkan di Jepun dan Singapura serta beberapa negara maju yang lain.
Dalam pada itu, strategi baharu dalam penjualan kereta jenama tempatan dan antarabangsa perlu diperkemaskan agar pengguna dapat memiliki kenderaan idaman dengan kadar harga dan tempoh masa bayaran balik yang memuaskan hati.
Kita tidak mahu melihat nanti apabila pemilik kenderaan yang telah melangsaikan pembayaran dalam tempoh maksimum sembilan tahun sedih memikirkan terpaksa melupuskan kenderaan mereka pada tahun berikutnya.
Pihak pembuat dasar awam perlu mengambil langkah amat teliti dan terbaik dalam usaha menangani isu kesesakan lalu lintas dan pencemaran udara serta bunyi dalam usaha mewujudkan kelestarian alam sekitar.
Contohnya, usaha memperkemaskan sistem pengangkutan awam merentasi desa dan bandar agar kemudahan itu sama-sama dinikmati oleh seluruh masyarakat.
Pendekatan yang tepat dan selamat ditagih agar sesuatu dasar awam yang diputuskan untuk dilaksanakan kelak mendapat sambutan dan diterima baik oleh masyarakat dan akhirnya mereka akan berasa sukacita dan senang hati dengan polisi diperkenalkan.
Kita tidak mahu suatu pihak sahaja mendapat kemenangan manakala satu pihak lagi menanggung kesusahan dalam jangka masa panjang akibat keputusan yang kurang bernas dibuat.
Apa yang pasti, setiap lapisan masyarakat akan menyokong penuh segala dasar baharu yang diperkenalkan kerajaan jika ia dilaksanakan setelah mengambil kira keselesaan, keselamatan dan kebajikan rakyat. – UTUSAN
FAKRULNIZAM JAFRI, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan