Ibu bapa perlu cakna penularan jangkitan HFMD

Ibu bapa perlu cakna penularan jangkitan HFMD

IBU bapa yang cakna penularan penyakit yang berbahaya akan memberikan kebahagiaan kepada anak-anak mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENINGKATAN kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) baru-baru ini sangat membimbangkan ibu bapa kerana ia merupakan penyakit berjangkit dalam kalangan kanak-kanak yang disebabkan oleh jangkitan virus daripada kumpulan enterovirus.

Penularan penyakit ini boleh berlaku melalui sentuhan secara langsung dengan cecair hidung, air liur, lepuh dan najis kanak-kanak yang dijangkiti serta sentuhan pada permukaan dan alatan yang tercemar dengan virus ini.

Ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam mencegah penularan penyakit HFMD dalam kalangan kanak-kanak. Kebersihan diri dan persekitaran adalah kunci utama dalam mencegah penyakit berjangkit ini.

Hal ini demikian kerana, penyakit HFMD lebih mudah menular apabila kebersihan tidak dijaga dengan baik, kawasan sesak dan mutu kebersihan persekitaran yang rendah.

Islam juga menuntut penganutnya untuk menjaga kebersihan diri dan persekitaran seperti disebutkan dalam hadis riwayat Muslim yang bermaksud “kebersihan itu sebahagian daripada iman”.

Jelaslah disini bahawa kebersihan bukan sahaja bagi mengelakkan diri dari dijangkiti penyakit malah ia merupakan suatu tuntutan dalam Islam.

Selain itu, ibu bapa perlu memberi sepenuh perhatian kepada kanak-kanak yang dijangkiti HFMD dengan menghantar mereka mendapatkan rawatan dan tidak membawa kanak-kanak tersebut ke tempat awam termasuk sekolah dan pusat jagaan.

Pepatah Melayu menyebut mencegah lebih baik dari mengubati. Penularan penyakit HFMD ini tidak akan berhenti jika tiada yang cakna dan ambil peduli tentangnya.

Pencegahan harus bermula dari kesedaran diri sendiri dan tindakan yang efisien hendaklah diambil agar kita mempunyai kehidupan yang bebas dari penyakit berjangkit ini. – UTUSAN

NAJIHAH AMINUDDIN, Pelajar Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN