Henti budaya suka beraksi secara solo - Utusan Malaysia

Henti budaya suka beraksi secara solo

BEGITU sulitnya untuk memperbetul tanggapan serong bahawa TVET adalah pendidikan kelas kedua.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PENDIDIKAN latihan teknikal dan vokasional (TVET) pada masa sekarang masih berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk dilihat sebagai pendidikan kelas kedua untuk mereka yang rendah kognitif serta dibayangi potensi masa depan yang kelam.

Tanggapan itu bertentangan dengan kesimpulan yang dicapai dalam satu sidang Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang menyebut bahawa TVET berkualiti merupakan kunci ke arah memacu pertumbuhan ekonomi sesebuah negara.

Ini kerana TVET berperanan melatih modal insan teknikal dan berkemahiran bagi mendepani cabaran kelestarian dunia.

Bagi memperkukuh kepentingan TVET, Badan Koordinasi TVET Kerajaan-Industri (GITC) telah ditubuhkan pada awal tahun ini dengan dianggotai 12 persatuan sektor industri bagi membentuk kerjasama dengan 11 kementerian yang diselaraskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Apa yang jelas, sudah tiba masanya, budaya suka beraksi secara solo dipadamkan dan tindakan menyambung semua titik berkaitan TVET digerakkan dengan penuh muafakat.

Sinergi ini amat penting dalam konteks kolaborasi strategik kepakaran, peralatan dan teknologi antara pusat kecemerlangan dengan institusi TVET bersama pihak berkuasa wilayah ekonomi dan industri.

Simbiosis ekosistem TVET ini diyakini berupaya mengecilkan jurang permintaan dan penawaran pekerjaan, serta pastinya akan berupaya memperkukuh jenama TVET sebagai pilihan generasi muda serta ibu bapa.

Akhirnya, benarlah perjalanan yang panjang bermula dengan langkah yang pertama. Jika ingin bergerak pantas, bergeraklah sendirian, tetapi jika ingin membawa kemakmuran, bergeraklah secara berpasukan.

Andai kita melakukan perkara sama berulang-ulang tanpa mencari kekurangan dan melakukan penambahbaikan, usahlah diharapkan keajaiban. – UTUSAN

PROFESOR DR. RUZAIRI ABDUL RAHIM & PROFESOR MADYA DR. AFANDI AHMAD, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya