SAUDARA PENGARANG,
SASARAN untuk memungut mata berharga atau sekurang-kurang seri semasa melawan Bahrain ketika kempen Kelayakan Piala Asia 2023 hampir menjadi kenyataan. Namun, ia direntap gara-gara kesilapan dan tindakan tidak bijak penjaga gol berpengalaman, Farizal Marlias.
Tidak dinafikan, Farizal antara penjaga gol terbaik skuad negara setakat ini tetapi dalam masa sama dia kerap kali melakukan kesalahan mudah apabila ditekan oleh pemain lawan. Semasa aksi persahabatan 2021 dengan Bahrain, jelas kekalahan skuad negara berpunca daripada kecuaiannya.
Dia mengulangi kesilapan sama semasa aksi pertama melawan Turkmenistan dan terbaharu, Bahrain apabila sengaja bermain sambil lewa setiap kali pemain lawan berada di depan gawang.
Pada hemat saya, peminat bola sepak berasa amat terkilan dan begitu kecewa kerana pemain lain bertungkus lumus memastikan pasukan negara menyertai Piala Asia 2023 secara mudah. Harapan itu tersekat dan menjadi berliku gara-gara tindakan Farizal.
Tahniah diucapkan kepada semua pemain skuad Harimau Malaya yang menunjukkan permainan berkualiti serta berintensiti tinggi. Begitu juga magis Kim Pan Gon selaku Ketua Jurulatih yang berjaya membentuk identiti baharu untuk skuad Harimau Malaya.-UTUSAN
MUZAKKIR HARON
Pulau Pinang