SAUDARA PENGARANG,
SETIAP bangsa di dunia ini akan berasa bangga dengan bangsa sendiri, lebih-lebih lagi Melayu. Kita amat bangga menjadi Melayu kerana orang Melayu itu beragama Islam.
Ajaran Islam itu sendiri menolak segala kemungkaran dan kebatilan. Islam sentiasa mengajar umatnya supaya jujur dan bertanggungjawab.
Oleh kerana itulah Melayu dikenali sebagai satu bangsa yang paling beradab, peramah, bertoleransi serta saling menghormati antara manusia, tidak kira apa juga latar belakang kaum. Satu bangsa yang cintakan kehidupan yang harmoni.
Namun, kini reputasi bangsa Melayu semakin terjejas. Bangsa Melayu sekarang dilihat semangkin korup dan imej baik telah tercalar.
Ini disebabkan oleh segolongan bangsa Melayu yang tidak menjalankan tanggungjawab sepertimana yang diamanahkan serta mengamalkan rasuah sebagai cara mengaut kekayaan dan kesenangan dunia.
Akibat amalan golongan Melayu inilah, umpama menderhaka dan membawa malu kepada bangsa dan secara tidak langsung juga mencemari kesucian Islam. Sehingga bangsa Melayu menjadi terbantut kemajuannya, walaupun di tanah air sendiri.
“Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapa pun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.” (Ar-R’ad: 13:11)
Hanya bangsa Melayu yang boleh memulihkan bangsa Melayu itu sendiri. Kita yang bangga menjadi bangsa Melayu harus sedar dan menolak golongan ini daripada terus-terusan merosakkan nama bangsa dan agama. Selayaknya golongan ini digelar Melayu durjana. – UTUSAN
AZMAN MOHD. HASHIM, Ahli Majlis Eksekutif Pusat, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)