Elak amalan pilih kasih di tempat kerja

Elak amalan pilih kasih di tempat kerja

PEKERJA perlu sentiasa bertanyakan pendapat serta maklum balas daripada bos tentang hasil kerja masing-masing. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

AMALAN pilih kasih walaupun jarang diperkatakan adalah barah yang boleh merosakkan sesebuah organisasi dan emosi setiap pekerja.

Tidak kira organisasi kecil mahupun besar, isu ini pasti akan timbul. Adalah menjadi tanggungjawab setiap majikan untuk bersikap adil dan profesional di tempat kerja.

Antara punca yang mendorong kepada amalan pilih kasih ini adalah sikap pekerja itu sendiri yang suka mengampu bos. Sikap ini akan menimbulkan perasaan iri hati dan tidak puas hati pekerja lain kerana mereka tidak mendapat perhatian serta menjadi kegemaran majikan.

Terdapat beberapa cara untuk mengatasi amalan tersebut. Salah satunya adalah setiap pekerja harus fokus untuk memperbaiki diri mereka dengan sebaiknya.

Mereka perlu meningkatkan cara berkomunikasi dengan majikan dan sentiasa bertanyakan pendapat serta maklum balas daripada bos tentang hasil kerja masing-masing.

Mungkin sebelum ini majikan kurang mengenali anda tetapi apabila sudah mula menonjolkan diri dengan kebolehan semula jadi, mungkin majikan akan lebih percaya.

Selain itu, sebagai pekerja, kita seharusnya pandai mengikut rentak organisasi dan majikan bagi memudahkan urusan kerja.

Buang sifat malas atau suka melengahkan masa kerana ini tidak berbaloi. Kesudahannya anda sendiri yang akan mendapat susah.

Sekiranya anda mendapati majikan melakukan amalan pilih kasih, terus berjumpa dengan bos dan berbincang tentang hal tersebut. Jelaskan apa yang anda rasakan.

Untuk mengelak amalan ini berterusan, setiap organisasi perlu mewujudkan satu dasar yang melarang dan mengharamkan pilih kasih di tempat kerja.

Dengan dasar tersebut, keharmonian serta prestasi pekerja akan terus meningkat dan mewujudkan suasana lebih positif di tempat kerja. – UTUSAN

NUR ADLINA MOHD. NOORAMIN KAW, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya