SAUDARA PENGARANG,
DEMAM merupakan penyakit ringan di mana suhu badan seseorang tidak berada pada tahap normal. Suhu normal badan adalah antara 36.1 hingga 37.2 darjah Celsius. Demam biasanya tidak berbahaya selagi suhu badan tidak mencapai 39.4 darjah Celsius dan ke atas.
Pun begitu, langkah pencegahan awal perlu diambil dengan sebaiknya bagi mengelak sebarang perkara buruk. Sikap sambil lewa dan memandang enteng sesetengah masyarakat dengan menganggap demam adalah penyakit biasa serta mudah sembuh boleh memberi kemudaratan. Ini kerana demam jika dibiarkan boleh membahayakan diri, keluarga dan orang sekeliling.
Berikut disertakan langkah-langkah bagi mengatasi demam pada peringkat awal:
1. Minum air dalam kuantiti yang banyak. Ini kerana air dapat mengeluarkan peluh dan menurunkan suhu badan. Jika selepas minum air, badan masih tidak berpeluh maka disarankan segera berjumpa doktor.
2. Membasahkan seluruh badan dengan berendam dalam tab berisi air sejuk. Ia perlu bagi menyejukkan kulit serta dapat menurunkan suhu badan.
3. Jika tidak berkeinginan untuk mandi disarankan mengelap badan dengan tuala lembap. Caranya hanya merendam tuala kecil ke dalam air sejuk dan sapukan ke seluruh badan. Tidak lupa juga untuk meletak kain lembab di dahi. Ia perlu bagi mengurangkan ketidakselesaan yang disebabkan oleh demam.
4. Menempatkan pesakit dalam suhu bilik yang sesuai. Jika rumah mempunyai penyaman udara, disaran menurunkan suhu bilik bagi memberi keselesaan agar pesakit dapat berehat.
5. Tidak digalakkan memakai pakaian berlapis atau tebal. Pemakaian selimut juga perlu dielak sewaktu suhu badan tinggi kerana haba akan terperangkap dan menyebabkan pesakit lambat sembuh.
Pencegahan awal ini bertujuan bagi membantu mereka yang kesulitan untuk mendapatkan rawatan dalam kadar segera disebabkan beberapa kekangan seperti menunggu ibu bapa pulang dari bekerja.-UTUSAN
AHMAD NUR AZIM HISMUDDIN
Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)