Dedak sawit boleh bantu kurang harga ayam

Dedak sawit boleh bantu kurang harga ayam

AYAM boleh diberi makan dedak sawit sebagai alternatif kepada soya dan jagung. – GAMBAR HIASAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEBELUM ini terdapat laporan berita yang memetik kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi bahawa kenaikan harga soya dan jagung yang diimport dari Argentina dan Brazil antara punca utama kepada peningkatan harga ayam di pasaran.

Kenaikan harga makanan ternakan itu menjejaskan harga ayam dalam rantaian bekalan daripada peringkat ladang ke pemborong, peruncit dan pengguna.

Bagi saya penyelesaian kepada isu kenaikan harga ayam itu terdapat pada sawit yang dikenali sebagai ‘buah emas’ kerana setiap bahagian pokok mempunyai pelbagai kegunaan.

Malah, salah satu langkah untuk membantu mengurangkan kenaikan harga ayam ialah mengurangkan makanan ayam import.

Sebagai alternatif, penyelidikan telah dilakukan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk menggantikan makanan ayam dengan dedak berasaskan sawit.

Kepakaran yang dimiliki oleh MPOB membolehkan dikurangkan kandungan serat dalam dedak dari isirung sawit (PKC) sehingga ke tahap sesuai untuk dijadikan makanan ayam.

Sebelum ini, PKC hanya dijadikan sumber makanan lembu dan kambing kerana kandungan serat terlalu tinggi tidak sesuai dijadikan makanan ayam.

Sebenarnya, sawit digunakan dalam hampir setiap industri, termasuk dalam sektor perubatan dan saya percaya ini adalah antara sebab mengapa negara-negara Barat berasa sangat terancam dengan komoditi berkenaan.

Dalam pada itu, pekebun kecil telah berdepan dengan pelbagai cabaran dan sokongan daripada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi telah banyak membantu kami.

Sebab itu, kami di sektor perladangan ingin menggesa Datuk Zuraida Kamaruddin terus memberi sumbangan membangunkan sektor ini.

Ini kerana jika seorang menteri baharu masuk, beliau perlu bermula dari bawah. – UTUSAN

IR. ANDREW SEAH, Ladang Kinta, Batu Gajah, Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN