Buli di tempat kerja hanya merugikan syarikat

Buli di tempat kerja hanya merugikan syarikat

PERSEKITARAN pejabat yang harmoni dan saling bekerjasama antara majikan dan pekerja dapat menghasilkan mutu kerja yang jauh lebih baik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini heboh tentang kes buli dalam kalangan doktor pelatih, malah difahamkan ia masih berlaku walaupun Kementerian Kesihatan sudah mewujudkan pasukan petugas khas bagi menyiasat budaya tersebut.

Perkara sama sebenarnya banyak berlaku dalam sektor pekerjaan lain di negara ini terutama apabila pihak atasan atau pun senior mahu menunjukkan kekuasaan mereka sehingga menyebabkan pelajar yang sedang mengikuti latihan industri atau pekerja baharu terganggu emosi.

Penggunaan bahasa kesat, jelingan mata, bercakap dengan nada tinggi, bebanan kerja yang melampau, penyebaran khabar angin, gangguan seksual dan sekatan terhadap mana-mana tuntutan atau hak pekerja antara punca pekerja takut, hilang keyakinan diri dan akhirnya berhenti kerja.

Walaupun mungkin beberapa pihak mengatakan perkara ini merupakan adat dalam pekerjaan, namun ia salah dari segi undang-undang serta dalam masa sama tindakan ini boleh memberi kesan serius kepada pekerja dan juga organisasi.

Tanpa sedar, pekerja yang dibuli dengan teruk boleh mengalami pelbagai kemurungan dan masalah kesihatan sehingga menjejaskan produktiviti dan ia tidak baik untuk syarikat.

Budaya tidak sihat ini boleh memberi kesan buruk kepada sektor pekerjaan apabila mangsa buli akan bertindak membuli pula pekerja baharu selepas mereka menjadi senior dalam sesebuah syarikat atau organisasi.

Saya bersetuju dengan satu artikel tulisan Profesor Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow dari Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang menyarankan majikan mewujudkan suasana kerja yang harmoni serta bebas daripada isu atau masalah buli agar lebih mudah bekerjasama dengan pekerja.

Katanya, sikap bertolak ansur, kerjasama serta memahami penting bagi mewujudkan sebuah persekitaran tempat kerja yang harmoni, kurang tekanan serta bebas daripada kegiatan pembulian.

Justeru, kita semua perlu mengetahui hak sebagai pekerja dengan mengambil maklum tentang polisi, prosedur dan peraturan syarikat dan gunakan saluran betul untuk membuat aduan. – UTUSAN

FITRI AHMAD, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN