Budayakan ilmu melalui aktiviti debat - Utusan Malaysia

Budayakan ilmu melalui aktiviti debat

AKTIVITI debat atau dialog dapat menggalakkan lagi penyertaan masyarakat dalam usaha membudayakan ilmu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

AKTIVITI debat atau dialog dilihat kurang popular dalam kalangan masyarakat di Malaysia kerana beranggapan bahawa sesi tersebut diadakan adalah semata-mata untuk mencari pemenang dan siapa pihak yang kalah.

Terdapat banyak manfaat yang boleh diperoleh menerusi aktiviti ini antaranya ialah menjadi platform intelektual untuk masyarakat mendapat penjelasan yang lengkap mengenai sesuatu isu menerusi sudut pandang yang pelbagai.

Selain itu, sesi debat dan dialog juga dapat melahirkan kematangan berpolitik dalam kalangan ahli politik. Pentas debat dapat memupuk budaya politik matang dan menghapuskan amalan fitnah. Justeru, jika aktiviti debat atau dialog ini diperluaskan lagi dengan melibatkan lebih ramai lagi pemimpin politik untuk berbahas maka amalan berbahas di media sosial dapat dikurangkan.

Dalam pada itu, aktiviti ini dapat menggalakkan lagi penyertaan masyarakat dalam usaha membudayakan ilmu. Ini kerana, aktiviti debat atau dialog akan melatih individu untuk berfikiran kritis serta menyampaikan hujah berdasarkan fakta dan bukti.

Walau bagaimanapun, bagi memastikan aktiviti itu bermanfaat dan berjalan lancar, debat ataupun dialog yang dianjurkan perlu mempunyai struktur dan peraturan yang jelas serta dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak yang berbahas. Tindakan ini dapat memastikan sesi debat yang adil dan profesional dapat dijalankan.

Bagi memastikan debat dan dialog dapat membangunkan intelektual masyarakat, seharusnya aktiviti ini perlu dianjurkan dengan lebih kerap lagi. Selain itu, aktiviti debat atau dialog tidak hanya terbatas untuk bidang politik sahaja tetapi turut melibatkan bidang lain seperti agama, kesihatan, ekonomi dan sebagainya.-UTUSAN

MUHAMMAD SYAKIR IDRIS
Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi UiTM Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya