Bina stadium bola sepak tertutup - Utusan Malaysia

Bina stadium bola sepak tertutup

ISU padang Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi ‘sawah’ perlu diselesaikan secepat mungkin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TUMPUAN terhadap aksi Harimau Malaya menentang Bahrain ketika perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 baru-baru ini terganggu dengan keadaan permukaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang becak.

Gambar petugas stadium menolak air secara ‘manual’ menggunakan penyodok dan kadbod bagi memastikan permukaan padang dapat digunakan tular dalam media sosial hingga mendapat kritikan warganet.

Warganet antara lain mempersoal kemudahan fasiliti digunakan itu yang agak ketinggalan berbanding apa dipraktikkan di kebanyakan stadium di seluruh dunia. SNBJ telah dinaik taraf pada 2017 melibatkan kos beratus juta ringgit.

Hakikatnya, isu keadaan padang stadium berkenaan telah lama dibangkitkan dan dibahaskan sehingga Tunku Mahkota Johor yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil menaja penukaran rumput lebih berkualiti jenis zeon zoysia menggantikan cow grass.

Isu stadium ini bukan sahaja berkaitan rumput dan padang yang menjadi bendang apabila hujan tetapi juga masalah pengurusan dan penyelenggaraan.

Menurut Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul John, gelanggang hendaklah dinaik taraf dengan segera atau tidak mendapat kelulusan penganjuran peringkat Asia akan datang.

Stadium yang dibina pada 1993 menelan belanja RM400 juta yang berusia 29 tahun ini perlukan perubahan dan penyelenggaran supaya ia kekal sebagai gelanggang bola sepak bagi acara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

CUACA

Kalau tidak, imej negara akan jatuh atau diperlekehkan lantaran mempunyai gelanggang sukan kurang sempurna sedangkan dari segi lain kita dikenali sebagai antara negara sedang membangun yang mempunyai banyak kemudahan bertaraf dunia seperti jalan raya, perubatan, pendidikan dan sebagainya.

Kita tidak dapat lari daripada cuaca lembab dan curahan hujan yang tinggi terutama kesan fenomena La Nina dan cuaca ekstrem dunia.

Diharapkan tidak berulang kejadian memalukan apabila padang menjadi sawah akibat digenangi air kerana hujan dan petugas stadium terpaksa menggunakan peralatan yang tidak sesuai untuk menolak air.

Untuk sekian lama, mengapa pihak stadium tidak berusaha atau menempatkan suatu sistem supaya air dapat dikeringkan atau diserap agar tidak bertakung di atas padang?

Jikalau rumput diganti sekalipun, air hujan yang turun pada bila-bila masa boleh bertakung dan merosakkan rumput serta permukaan padang.

Selain itu, air yang bertakung boleh mengganggu permainan dan pemain sukar untuk memperlihatkan skil atau kemahiran sebenar.

Sudah sampai masanya infrastruktur sukan seperti stadium bola sepak dibina dengan mengambil kira keadaan cuaca di Malaysia.

Antaranya dibina stadium tertutup dengan bumbungnya boleh disesuaikan dengan keadaan cuaca seperti hujan.

Kebaikannya, pemain dapat bermain seperti biasa dan penonton pula dapat menyaksikan permainan tanpa ditimpa hujan.

Begitu juga acara pembukaan dan penutupan temasya sukan seperti olahraga boleh dijalankan dengan selesa tanpa berpanas dan berhujan.

Diharapkan isu padang bola sepak menjadi sawah ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Kita tidak mahu 70,000 penyokong yang hadir untuk memberikan sokongan berbelah bahagi sama ada hendak datang atau menonton sahaja menerusi kaca televisyen di rumah. – UTUSAN

ABDUL HAMID, Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya