Betapa tidak efisiennya pengangkutan awam negara - Utusan Malaysia

Betapa tidak efisiennya pengangkutan awam negara

KKHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERTAMA sekali, syabas Utusan Malaysia yang menerbitkan artikel berkaitan kegagalan sistem pengangkutan awam terutama selepas melihat kesesakan luar biasa pada setiap hari selepas negara beralih ke fasa endemik sejak 1 April lalu.

Sebagai ‘bekas’ pengguna pengangkutan awam, saya tidak boleh menafikan betapa tidak efisien perkhidmatan tersebut yang sepatutnya memberi kemudahan kepada rakyat.

Pada 2011, hampir setahun saya berulang alik dari Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Salak Selatan ke Stesen LRT KLCC yang memerlukan saya menukar laluan di Masjid Jamek.

Masalah utama yang saya hadapi ialah kekurangan kawasan letak kenderaan di stesen LRT dan kekerapan tren lewat disebabkan masalah teknikal.

Pernah sekali hampir dua jam saya terkandas di Stesen LRT KLCC. Bayangkan ketika itu kawasan bawah tanah stesen dipenuhi ramai pengguna pengangkutan awam yang terkandas sehingga menyebabkan ruang menjadi sempit. Saya sendiri sesak nafas apabila terpaksa menunggu hampir dua jam.

Akhirnya, saya putus asa dan pulang menaiki teksi. Ini bukan kali pertama terjadi sehingga akhirnya saya memilih untuk menaiki kenderaan sendiri ke tempat kerja.

Baru-baru ini, saya terbaca pula ciapan Twitter daripada akaun @ktm_berhad yang mengatakan penggunaan perkhidmatan komuter KTM masih rendah dan tidak dioptimumkan sepenuhnya. Jika orang awam mengoptimumkan penggunaan kemudahan pengangkutan awam terutamanya tren, kesesakan jalan raya boleh dikurangkan.

Saya tidak bersetuju dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) apabila memuat naik kenyataan tersebut. Tidak sedarkah mereka, perkhidmatan yang ditawarkan jauh tertinggal ke belakang berbanding perkhidmatan-perkhidmatan pengangkutan awam lain terutama dari segi tempoh menunggu dan perjalanan yang sangat panjang?

Saya berharap kerajaan mengambil perhatian tentang kualiti pengangkutan awam di negara ini kerana ia adalah cerminan kepada sektor ekonomi terutama dalam industri pelancongan.

Tidak perlu lagi mengorbankan hutan ataupun kawasan perumahan demi untuk menaik taraf jalan raya kerana ia tidak akan menyelesaikan pun masalah kesesakan jalan raya sebaliknya isu lambakan kenderaan di jalan raya boleh diatasi sekiraya perkhidmatan awam negara lebih efisien serta sistematik.-UTUSAN

CAHAYA ADRA
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya