Elak guru dibeban tugas perkeranian - Utusan Malaysia

Elak guru dibeban tugas perkeranian

PEMANSUHAN PT3 selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan untuk melihat kemenjadian murid secara holistik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PEMANSUHAN peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) adalah wajar dan signifikan jika mengambil kira perubahan dalam sistem pendidikan negara dan global.

Namun, timbul beberapa persoalan, sejauh mana pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) nanti mampu mencapai objektif yang dihasratkan?

Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan perlu memberikan penjelasan menyeluruh dan terperinci kepada semua warga pendidik mengenai pelaksanaan PBS melalui salah satu komponen, iaitu Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) secara berkesan sebagai ganti pemansuhan tersebut.

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu kerap turun padang membimbing warga guru bagi memastikan pelaksanaan PBS dapat dijayakan dengan sebaiknya.

Antara fokus penting kejayaan pelaksanaan PBS ialah pertama, latihan dan bimbingan berterusan berkaitan PBS dan PBD daripada PPD dan JPN.

Kedua, mempelbagaikan kaedah pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dengan mengambil kira kepelbagaian dan gaya belajar murid.

Ketiga, memberikan autonomi kepada guru dalam menentukan bentuk dan aras pentaksiran kerana mereka lebih memahami murid sendiri.

Keempat, memanfaatkan guru cemerlang (GC) sebagai guru pembimbing utama di sekolah atas kepakaran subjek mereka.

Kelima, pemantauan berterusan daripada pihak pengurusan sekolah untuk memastikan keberkesanan PBS.

Keenam, kerjasama ibu bapa untuk membantu pentaksiran ini dengan memberikan maklumat berkaitan anak masing-masing serta cadangan penambahbaikan seperti program intervensi akademik.

PBS perlu difahami yang ia bukanlah semata-mata pentaksiran akademik seperti PBD tetapi juga merangkumi komponen bukan akademik iaitu Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

Atas asas itu, kejayaan PBS bergantung kepada sejauh mana warga guru memahami konsep pentaksiran yang sebenarnya.

Selain itu, pelaksanaan PBS nanti tidak wajar dilihat menambah beban tugas guru dengan kerja-kerja berbentuk perkeranian. – UTUSAN

MOHD. AZIZEE HASAN, Presiden iGuru

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN