Wanita perlu manfaatkan media sosial - Utusan Malaysia

Wanita perlu manfaatkan media sosial

KELEBIHAN pelbagai aplikasi dimanfaatkan tiga beradik, Afiera Riana Agoes Riauwaldy, Afiefi Riani dan Ahmad Amin untuk memuat naik kandungan di media sosial sementara menunggu pelanggan di gerai mereka di Ampang, Selangor. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEMAJUAN teknologi banyak membawa perubahan kepada kehidupan manusia. Dahulunya, segala maklumat dapat didengar di radio, menonton televisyen dan melalui pembacaan surat khabar tetapi dengan wujudnya media baharu, segala maklumat hanya di hujung jari.

Masyarakat lebih mudah mengakses segala bahan yang diperlukan hanya menggunakan internet dan peranti elektronik. Kewujudan media baharu juga memberi ruang kepada masyarakat untuk menghasilkan kandungan dalam Facebook, Instagram, TikTok, Twitter dan YouTube.

Antara kandungan yang dihasilkan adalah berkaitan kehidupan seharian dan hiburan seperti isu yang tular berkenaan golongan wanita menari di TikTok.

Dalam perspektif Islam, tiada larangan untuk berhibur terutamanya bagi wanita tetapi ia harus tidak bercanggah dengan al-Quran, sunah dan berlebihan. Seperti yang disebutkan dalam buku Al-Halal Wa Al Haram:

“Justeru, Islam tidak mewajibkan manusia agar semua perkataan yang diucapkan sehari-hari sebagai zikir, semua renungannya sebagai berfikir, semua pendengarannya hanyalah al-Quran dan semua masa lapangnya mesti berada di dalam masjid.

“Bahkan Islam mengiktiraf kewujudan manusia itu dengan fitrah dan tabiatnya yang tersendiri sebagaimana yang diciptakan Allah SWT buat mereka. Allah SWT menciptakan manusia supaya mereka senang, ketawa dan bermain-main sebagaimana diciptakan bagi manusia itu keinginan untuk makan dan minum…”

Wanita sering dikaitkan dengan media baharu kerana mereka lebih cenderung untuk mengikuti trend terkini tetapi golongan itu harus pastikan mereka mengikut ketetapan ajaran Islam kerana Islam telah menaikkan martabat wanita dan menjadikan mereka sebagai perhiasan dunia.

Ini seperti sabda Rasulullah SAW: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.” (Riwayat Muslim)

Oleh itu, setiap masyarakat haruslah berfikir terlebih dahulu tentang baik dan buruk sesebuah kandungan yang dihasilkan di media sosial kerana ia lebih pantas untuk tersebar dan boleh memberi kesan kepada individu berkenaan. – UTUSAN

UMMI NAJLA SARONI, Pelajar Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN