Utamakan calon tempatan dalam PRU nanti

Utamakan calon tempatan dalam PRU nanti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KEBELAKANGAN ini terdapat cadangan supaya tempoh perkhidmatan Perdana Menteri dihadkan kepada dua penggal sahaja. Begitu juga khidmat ahli Parlimen, perlu dihadkan kepada tiga atau empat penggal.

Seperti disuarakan geostrategis, Profesor Dr. Azmi Hassan dalam Utusan Malaysia baru-baru ini, perkara itu perlu dilakukan bagi memberi peluang kepada pemimpin baharu selain tidak dilihat dikuasai oleh sekelompok pemimpin sahaja.

Bagaimanapun, tempoh tiga atau empat penggal dilihat terlalu lama dan boleh dihadkan kepada dua penggal sahaja.

Melihat suasana persidangan Parlimen kebelakangan ini, kebanyakan ahli Parlimen yang telah lebih tiga atau empat penggal perkhidmatan tidak dapat menyumbang idea yang baik, sebaliknya menjadikannya sebagai tempat menyerang peribadi mereka.

Dalam menentukan ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), parti politik perlu memastikan seseorang calon itu boleh menguasai bahasa Malaysia dengan baik.

Begitu juga sudah sampai masanya semua parti politik yang bertanding dalam pilihan raya umum (PRU) atau mana-mana pilihan raya negeri (PRN) mahupun pilihan raya kecil (PRK) memberi keutamaan kepada anak tempatan yang lebih mengetahui masalah di kawasan masing-masing. Dengan cara ini, ia lebih memberikan keselesaan kepada pengundi.

Sebenarnya ramai anak tempatan yang berkebolehan, mempunyai pendidikan tinggi yang boleh menggalas tanggungjawab tetapi terpaksa diketepikan semata-mata untuk memberi laluan kepada calon dari luar. Mereka ini cuma diberikan perhatian oleh parti bila berlakunya PRK dan atas desakan pengundi akar umbi.

Akhirnya rakyat atau pengundi terbeban dan berhadapan dengan masalah selepas pilihan raya. Wakil rakyat yang mereka pilih atas kehendak parti gagal melaksanakan tanggungjawab di kawasan terbabit. Muncul seminggu atau sebulan sekali, sedangkan masalah rakyat tidak mengira masa.

Masalah pembangunan kawasan juga terabai. Tidak dinafikan ada pusat perkhidmatan wakil rakyat yang dikendalikan oleh wakil atau petugas, namun mereka tiada kuasa untuk membuat keputusan apabila berlaku masalah. Situasi ini sebenarnya tidak adil kepada pengundi.

Pengundi juga harus bijak dalam menentukan wakil rakyat di kawasan mereka. Jangan kerana janji manis dan pemberian yang tidak seberapa menyebabkan kita menolak calon yang mampu memperjuangkan masalah dihadapi.-UTUSAN

MOHD. NOH MOHAMED
Kg. Solok, Tangkak, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN