Tumpu komunikasi kelestarian secara Islam

Tumpu komunikasi kelestarian secara Islam

APLIKASI TikTok boleh digunakan bagi menyebarkan pelbagai video menarik berkenaan mesej kelestarian alam sekitar seperti perubahan iklim dan menyelamatkan spesies haiwan terancam. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KOMUNIKASI kelestarian adalah salah satu cabang dalam bidang perhubungan yang menekankan tentang proses mengkomunikasikan mesej-mesej kelestarian (mengekalkan) sesuatu perkara termasuklah tentang alam sekitar, sosial dan ekonomi daripada penghantar kepada penerima mesej.

Kewujudan media sosial masa kini telah membolehkan penyampaian mesej-mesej kelestarian disampaikan dengan lebih mudah, cepat dan tanpa batasan geografi.

Di dalam aplikasi TikTok misalnya, pelbagai video menarik berkenaan mesej kelestarian alam sekitar seperti perubahan iklim dikongsikan oleh pengguna platform berkenaan bagi memberikan mesej kesedaran dan pendidikan kepada khalayak awam.

Perkongsian dalam media sosial sebegini telah menjadi alat yang penting dalam meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan kelestarian dalam kehidupan mereka.

Sungguhpun begitu, bidang komunikasi kelestarian ini dilihat masih baharu dan sedang berkembang di Malaysia jika dibandingkan dengan perkembangannya di negara-negara Barat.

Bagaimanapun, keunikan Malaysia sebagai negara majoriti Islam membuatkan komunikasi kelestarian di negara ini turut dipengaruhi oleh elemen Islamik khususnya daripada penyampai mesej kelestarian yang beragama Islam.

Ia jelas berbeza dengan komunikasi kelestarian di Barat yang dilihat lebih sekular dan kurang dipengaruhi dengan aspek agama.

Namun di Malaysia, mesej-mesej kelestarian berkaitan Islam yang disampaikan kepada khalayak mungkin tidak benar-benar dirancang atau disedari oleh penyampai mesej sebagai satu bentuk komunikasi kelestarian berteraskan Islam.

Misalnya, ketika Ramadan yang baru berlalu, banyak mesej kesedaran tentang larangan membazirkan makanan terutamanya semasa berbuka puasa telah disampaikan kepada umat Islam yang berpuasa di Malaysia dengan rujukan dari petikan ayat al-Quran atau hadis.

SEJAHTERA

Mesej sebegini boleh diambil kira sebagai salah satu bentuk komunikasi kelestarian berteraskan Islam kerana pembaziran makanan adalah aspek penting yang ditekankan oleh matlamat ke-12 dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), iaitu memastikan corak penggunaan dan pengeluaran yang lestari.

Cuma yang membezakannya adalah di Malaysia, komunikasi kelestarian berkaitan pembaziran makanan sebegini dipengaruhi oleh latar belakang budaya masyarakat Islam yang menyampaikan mesej kelestarian sebegini dari perspektif Islam.

Pengaruh Islam dalam komunikasi kelestarian membuatkan mesej kelestarian sebegini lebih mudah disampaikan kerana ia menjadi lebih dekat dengan penerima mesej, iaitu umat Islam itu sendiri yang sememangnya telah dididik dengan larangan membazirkan makanan dalam Islam sejak dari kecil lagi.

Selain itu, dari lensa Islam, pengaplikasian prinsip maqasid syariah yang menekankan tentang pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta juga relevan untuk diaplikasikan dalam proses komunikasi kelestarian di negara ini.

Hal ini kerana prinsip maqasid syariah itu sendiri memfokuskan pada asas dan matlamat yang sama dengan kelestarian, iaitu mencapai kesejahteraan.

Justeru, pengaplikasian prinsip maqasid syariah dan penekanan terhadap elemennya dalam komunikasi kelestarian seperti mengkomunikasikan tentang kepentingan dan keperluan menjaga akal daripada perkara-perkara yang merosakkan minda seperti alkohol, dadah dan sebagainya boleh membawa kepada pencapaian kesejahteraan dalam masyarakat.

Oleh itu, kaitan prinsip maqasid syariah dengan komunikasi kelestarian perlulah dijadikan lebih ketara dan bukan hanya secara tidak langsung.

Dengan erti kata lain, penyampai mesej perlulah merancang penggunaan prinsip maqasid syariah dalam komunikasi kelestarian mereka mengikut kesesuaian konteks dan khalayak yang disasarkan. – UTUSAN

DR. MOHAMAD SAIFUDIN MOHAMAD SALEH, Universiti Sains Malaysia (USM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN