SAUDARA PENGARANG,
BARU-BARU ini, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan menyatakan, pekerja yang memilih untuk bekerja dari rumah (BDR) wajar dipotong elaun perjalanan antara 10 hingga 12 peratus kerana sudah menjimatkan kos pergi dan balik dari tempat kerja.
MEF sepatutnya lebih memahami kelebihan BDR dari segi kesihatan mental, emosi dan juga fizikal pekerja. Kebanyakan mereka yang berbuat demikian kerana tidak mahu mengharungi kesesakan lalu lintas untuk sampai ke pejabat.
Walaupun transit aliran massa (MRT) dan transit aliran ringan (LRT) telah dibina, ramai pekerja masih mengalami masalah dalam menggunakan kemudahan ini disebabkan kesesakan jalan raya mengakibatkan bas perantara tidak mengikut masa yang ditetapkan.
Ini memaksa para pekerja membazirkan masa perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja. Tiada satu majikan pun yang mengambil kira masa perjalanan tambahan ini sebagai waktu bekerja.
Tidakkah MEF sedar bahawa ramai pekerja menampung kos tinggi untuk membeli atau menyewa kediaman sehampir mungkin dengan tempat kerja mereka? Kos berkenaan tidak ditanggung oleh majikan.
BDR mampu menjimatkan perbelanjaan majikan kerana kurang membayar bil utiliti pejabat sebaliknya kos terbabit dipindahkan kepada pekerja pula apabila kegunaan elektrik, air dan internet di rumah meningkat.
Kaedah itu juga bermaksud bahawa majikan boleh mengeksploitasi waktu kerja melebihi lapan jam sehari daripada pekerja tersebut tanpa keperluan membayar gaji kerja lebih masa.
Dengan pelbagai penjimatan yang dinikmati oleh majikan apabila pekerja beralih kepada BDR, maka cadangan MEF untuk memotong elaun hanya bertujuan untuk memaksimumkan keuntungan. – UTUSAN
GEETHA ANBALAGAN, Kuala Lumpur