Tidak perlu hari khusus rai insan tersayang

Tidak perlu hari khusus rai insan tersayang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MERUJUK kepada surat pembaca bertajuk Jangan sehari sahaja hargai ibu dalam ruangan Forum Utusan Malaysia pada 19 Mei lalu, saya sangat bersetuju dengan kenyataan oleh Profesor Madya Dr. Khairunneezam Mohd. Noor dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Beliau berpendapat, meraikan ibu bukan sekadar pada tarikh rasmi sambutan Hari Ibu pada hari Ahad kedua dalam Mei setiap tahun.

Sebaliknya kita perlu meraikan ibu sepanjang masa semampunya. Sebagai anak, ibu juga perlu diberikan perhatian.

Bantu dan sokonglah ibu sebaik-baiknya tidak kira dari segi material, ­fizikal mahupun emosional. Patuh dan ikut segala nasihat dan permintaan mereka selagi ia tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Bagi anak-anak yang menetap berjauhan dengan ibu, jenguk-jenguklah mereka selalu atau setidak-tidaknya keraplah bertanyakan khabar.

Bukan Hari Ibu sahaja yang perlu diraikan 365 hari setahun. Sepatutnya Hari Bapa, Hari Guru dan Hari Wanita boleh dirai 365 hari dalam setahun.

Tidak perlu hari khusus untuk meraikan seseorang atau benda. Sebagai rakyat Malaysia, cukuplah dengan sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia sahaja dan tidak perlu menyambut Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Guru dan Hari Wanita serta hari-hari khusus lain.

Bagi yang beragama Islam, sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha sudah memadai. Sementara bagi kaum Cina, sambutan Tahun Baharu Cina sudah cukup. Bagi kaum India khususnya yang beragama Hindu, pastinya sambutan Deepavali.

Diharap kepada semua saluran televisyen dan radio serta media cetak dapat berhenti mempromosikan sambutan Hari Wanita, Hari Ibu dan Hari Bapa serta hari-hari khusus untuk meraikan mana-mana pihak. – UTUSAN

HAYRIN MATAHIR, Sandakan, Sabah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya