Teruskan apa yang dibuat Zuraida - Utusan Malaysia

Teruskan apa yang dibuat Zuraida

PENGUSAHA ladang kelapa sawit perlu melakukan automasi dan pemodenan bagi menyelesaikan isu kekurangan pekerja. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin mengulas langkah Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang telah mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Tindakan itu dibuat beliau ketika industri kelapa sawit tempatan tidak pernah kelihatan sebaik ini sejak sekian lama. Harga minyak sawit mentah (MSM) berada pada paras tertinggi sejak lima tahun ini.

Pencerobohan Russia ke atas Ukraine telah mengganggu bekalan minyak biji sesawi dan bunga matahari ke Eropah dan Amerika Syarikat (AS). Akibatnya, pasaran terbabit mencari alternatif seperti minyak sawit, yang mana Malaysia adalah pengeluar kedua terbesar selepas Indonesia.

Keputusan negara itu baru-baru ini untuk menghentikan eksport komoditi terbabit mulai 28 April lalu bagi membantu memenuhi permintaan dalam negara telah membolehkan Malaysia menampung kekurangan bekalan berkenaan.

Walaupun Indonesia telah membatalkan larangan itu pada 23 Mei lalu, episod terbabit telah menyebabkan pasaran global ragu-ragu tentang kebolehpercayaan negara itu dalam membekalkan minyak sawit dalam jangka masa panjang.

Sebagai contoh India, pengimport terbesar minyak sawit dunia telah meningkatkan pembelian dari Malaysia. Dalam tempoh lima bulan pertama tahun pemasaran 2021/2022, India membeli 1.47 juta tan metrik minyak sawit Malaysia berbanding 982,123 tan metrik dari Indonesia.

Pada Mei ini, India mengimport sekitar 570,000 tan metrik minyak sawit dengan 290,000 dari Malaysia dan 240,000 dari Indonesia.

Pengganti Zuraida perlu meneruskan segala apa yang telah dibuat beliau bagi menjadikan minyak sawit Malaysia lebih berdaya saing malah mungkin membantu negara memperoleh semula kedudukan teratas dalam pengeluaran minyak sawit global yang sebelum ini dipegangnya.

FITNAH

Zuraida sebelum ini mendedahkan kementeriannya sedang berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk mengurangkan cukai eksport minyak sawit daripada lapan peratus kepada antara empat dan enam peratus.

Sebenarnya, beliau telah melakukan banyak untuk membantu mempromosikan tanaman emas Malaysia. Baru-baru ini, beliau dilaporkan berkata bahawa kementeriannya akan menjalankan usaha agresif untuk menentang fitnah global terhadap tanaman itu dengan kempen balas “Minyak Sawit Penuh Kebaikan”.

Selama beberapa dekad, kumpulan berkepentingan telah menjejaskan minyak sawit secara sistematik melalui berita palsu dan maklumat salah bagi membolehkan minyak sayuran alternatif seperti minyak biji bunga matahari mendominasi, terutamanya di AS dan United Kingdom. Terima kasih kepada Zuraida atas keberanian untuk menentang kumpulan lobi yang berkuasa ini!

Tetapi pihak yang terlibat dengan industri sawit tidak sepatutnya berpuas hati. Selepas perang di Ukraine berakhir, pasaran Eropah mungkin kembali mengutamakan minyak biji sesawi dan bunga matahari. Harga MSM yang tinggi tidak akan kekal selama-lamanya.

Masalah utama iaitu kekurangan tenaga kerja perlu ditangani segera. Seperti yang disebut Zuraida, pihak industri perlu melakukan automasi dan pemodenan.

Sebagai contoh, dron boleh membantu mengesan pokok tidak sihat, menyembur racun perosak, memantau hasil dan menjalankan pengesanan rumpai dengan lebih cepat dan tepat berbanding kerja-kerja yang dilakukan secara manual. – UTUSAN

ABDUL RAZAK AHMAD, Shah Alam

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN