SAUDARA PENGARANG,
MUNGKIN ramai tidak sedar pada 26 April lalu, tersebar dalam media sosial tentang satu perkongsian mendakwa sambutan Hari Raya Aidilfi tri pada tahun ini disambut sehari lebih awal iaitu Isnin yang berbeza daripada tarikh ditetapkan dalam kalendar, Selasa.
Penulis mesej itu turut meminta orang ramai melakukan persediaan untuk mengelak panik jika 1 Syawal disambut lebih awal.
Ternyata perkongsian itu yang didakwa pelbagai pihak sebagai palsu sebenarnya betul menyebabkan umat Islam di seluruh negara menyambut 1 Syawal secara mengejut, baru-baru ini.
Antara puncanya kerana penetapan 1 Syawal 1443H bergantung kepada kaedah baharu hasil cerapan berdasarkan rukyah (melihat) dan hisab (menghitung) kedudukan anak bulan bersandarkan data yang diperoleh di negara masing-masing.
Satu lagi isu, berdasarkan pengalaman-pengalaman lepas, kematian akibat kemalangan jalan raya meningkat sewaktu Hari Raya Aidilfitri yang bermakna ramai orang Melayu kehilangan nyawa.
Satu faktor yang menyumbang keadaan itu ialah orang ramai terpaksa bergegas ke sana sini menziarahi sanak saudara dalam tempoh dua hari cuti yang tersedia.
Sebaiknya cuti hari raya diumumkan lebih awal supaya perancangan boleh dibuat secepat mungkin. Ini bermakna sama ada hari raya ditentukan melalui kaedah hisab sepenuhnya atau cuti umum hari raya ditambah satu hari lagi.
Saya bimbang disebabkan pendekatan sama dalam menentukan hari raya, lebih banyak kemalangan maut jalan raya terus berlaku.
Sambutan Tahun Baharu Cina pula adalah sebaliknya apabila korban kemalangan jalan raya lebih rendah walaupun berlaku pergerakan pulang ke kampung kerana cuti sudah ditetapkan yang membolehkan rakyat merancang awal. – UTUSAN
BADRUDDIN, Petaling Jaya