Sokong PT3, UPSR dijenama semula - Utusan Malaysia

Sokong PT3, UPSR dijenama semula

SEBELUM ini PT3 penting untuk pelajar memilih aliran apabila berada di tingkatan empat nanti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MENGULAS ura-ura Pentaksiran Ting­katan Tiga (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan dikembalikan semula dengan diberi je­nama baharu, saya menyokong penuh kedua-dua peperiksaan ini diadakan semula.

Ini kerana pemansuhannya sebelum ini adalah disebabkan pelbagai kekangan yang berpunca daripada pandemik Covid-19.

Situasi sekarang adalah berbeza kerana kita sudah pun beralih kepada endemik dan pelajar berpeluang belajar seperti biasa.

Lagipun, tiada lagi sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) seperti yang dilaksanakan dua tahun lalu.

Walaupun peperiksaan digantikan dengan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Kementerian Pendidikan (KPM) perlu melakukan pengubahsuaian terhadap PBD supaya lebih berkesan.

Jika tiada kaedah mengukur yang tepat dan boleh dipercayai, sukar untuk guru menilai sejauh mana berkesan atau tidak hasil pengajarannya kepada pelajar.

Di pihak pelajar, jika tiada peperiksaan, dilihat tiada satu instrumen yang berkesan untuk mengukur kebolehan dan kemahiran termasuk mengetahui sejauh mana mereka telah faham setiap topik yang diajar.

Selain itu, pelajar akan berasa lebih dihargai dan mempunyai hala tuju untuk belajar jika hasil usaha mereka direkodkan dan mendapat gred tertentu pula dalam peperiksaan.

Bagi pelajar PT3, peperiksaan amat penting untuk mereka memilih aliran apabila berada di tingkatan empat nanti.

Apabila pelajar telah melalui peperiksaan, mereka mudah memilih subjek yang boleh dikuasai dan memudahkan guru membimbing dan menentukan bidang mana yang pelajar tersebut minat.

Segerakan dan kembalikan semula UPSR dan PT3 seperti asal agar kebolehan dan kesungguhan murid belajar dapat dinilai secara adil dan wujudkan kaedah pentaksiran yang seimbang antara murid.

Akhir sekali, KPM perlu mencari kaedah atau membuat penjenamaan semula pentaksiran UPSR dan PT3 agar instrumen pengukuran nanti benar-benar mengukur kebolehan dan berupaya melihat kemenjadian murid. – UTUSAN

ABDUL HAMID, Temerloh

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN