Sertai mendaki aktiviti fizikal pilihan semua - Utusan Malaysia

Sertai mendaki aktiviti fizikal pilihan semua

MENDAKI juga adalah senaman aerobik yang menggerakkan seluruh badan untuk masa yang lama bagi membantu proses pembakaran lemak dan mengurangkan berat badan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MENDAKI didefinisikan sebagai bergerak dari tempat rendah ke tempat yang lebih tinggi. Kelajuan setiap langkah adalah berbeza bergantung pada ketinggian gunung, jenis cerun dan topografi lokasi.

Semasa kecil, sahabat Nabi SAW, Saidina Umar al-Khattab juga dilatih oleh ayahnya mendaki bukit dan menuruni lembah sambil mengembala unta dan kambing supaya beliau menjadi pahlawan yang kuat dan gagah.

Mendaki membantu membina otot dan tulang yang kuat dan sihat. Ia adalah senaman yang membantu membina jisim otot dalam meningkatkan keseimbangan dan mencegah osteoporosis.

Apabila ketinggian meningkat dan suhu persekitaran menurun, otot berfungsi menjana haba untuk mengekalkan suhu badan pendaki sekitar 36.5 darjah Celsius.

Menuruni bukit baik untuk menguatkan lutut dan kelenturan otot fleksor pada pinggul di samping menguatkan teras dan bahagian bawah badan.

Kajian menunjukkan mendaki pada waktu pagi meningkatkan pendedahan terhadap sumber nutrien vitamin D yang baik untuk tulang.

Aktiviti ini membuatkan jantung berdegup kencang lalu meningkatkan aliran darah ke saluran kecil di sekeliling jantung yang boleh mengurangkan risiko penyakit jantung, tekanan darah tinggi, paras kolesterol tinggi, peningkatan gula dalam darah dan beberapa jenis kanser.

Ia juga akan membantu mencegah penyakit berkaitan gaya hidup seperti diabetes.

IMUNITI

Satu kajian mendapati bahawa sel darah putih peserta meningkat sebanyak 40 peratus dan kekal 15 peratus lebih tinggi sebulan kemudian selepas aktiviti mendaki dilakukan dua kali sehari selama tiga hari.

Ini kerana, menggerakkan otot sepanjang hari semasa mendaki menyebabkan banyak darah mengalir ke dalam usus.

Ini adalah penting untuk mengaktifkan fungsi usus dalam menghasilkan bakteria baik untuk meningkatkan imuniti semula jadi.

Kajian menunjukkan mendaki pada waktu pagi membantu menghasilkan melatonin, iaitu hormon tidur pada waktu malam. Aktiviti ini menjadikan pancaindera lebih sensitif dengan persekitaran.

Ia membuatkan pendaki lebih berwaspada terhadap bahaya termasuk jejak haiwan liar yang mungkin melintasi laluan.

Selain itu juga dapat meningkatkan kesedaran minda tentang kedudukan dan pergerakan badan berhubung dengan persekitarannya.

Dalam masa sama aktiviti ini mampu menguji mental seperti membaca peta, pandu arah denai dan mengharungi pendakian yang mencabar.

Aktiviti ini juga membolehkan pengembara mengetahui lebih lanjut tentang pelbagai ciri warisan dan etnografi yang terletak di sekeliling denai kembara. – UTUSAN

PROF. MADYA IR. DR. NAZRUL ANUAR NAYAN, Fakulti Kejuruteran dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN