Pengeluaran khas KWSP: Wang KWSP hak milik pencarum

Pengeluaran khas KWSP: Wang KWSP hak milik pencarum

pengeluaran khas kwsp
PENGELUARAN khas sebanyak RM10,000 secara sekali bayar yang sudah pun diterima oleh pemohon sebenarnya dapat mengurangkan beban tanggungan dan perbelanjaan sara hidup ahli keluarga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

WANG persaraan atau wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sepatutnya tidak boleh dijadikan sebagai isu. Ini kerana ia sepenuhnya milik pencarum.

Pihak-pihak tertentu harus melihat perkara ini secara adil serta berpandangan positif memandangkan kerajaan tidak berkemampuan memenuhi keperluan serta tuntutan rakyat yang menghadapi masalah kewangan sejak dilanda pandemik Covid-19.

Walaupun kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM), Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan sebagainya, namun bantuan itu tidak secara menyeluruh.

Ini menyebabkan pemohon bantuan yang ditolak tiada pilihan lain selain terpaksa bergantung kepada simpanan KWSP. Seiring dengan perubahan sosioekonomi dan krisis politik negara, wang KWSP sudah tidak boleh dianggap lagi sebagai tabung untuk hari tua.

Pengeluaran khas sebanyak RM10,000 secara sekali bayar yang sudah pun diterima oleh pemohon sebenarnya dapat mengurangkan beban tanggungan dan perbelanjaan sara hidup ahli keluarga.

Sebaik-baiknya kerajaan mengkaji semula pemberian bantuan kepada golongan bujang dan memberi perhatian kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan anak yang masih bersekolah supaya lebih banyak manfaat diterima mereka.

Saya percaya pengeluaran wang KWSP ini disebabkan keadaan yang terdesak, jadi janganlah salahkan mereka yang terpaksa memilih untuk menggunakan sebahagian wang simpanan selepas bersara.

Janganlah lagi membangkitkan isu tentang pencarum tiada perancangan masa depan selepas persaraan.

Sebaliknya, kerajaan perlu mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi permasalahan rakyat tanpa melibatkan urusan pengeluaran wang caruman KWSP dan bukannya menuding jari kepada pencarum kerana tidak memanfaatkan wang tersebut dengan baik atau mempersoalkan mengapa rakyat tidak merancang dengan betul.

Terdapat dakwaan kononnya jika pencarum mengeluarkan sebahagian simpanan, mungkin mereka tidak dapat menikmati hidup lebih selesa selepas hari tua atau tiada berpeluang untuk melancong ke luar negara dan sebagainya.

Persoalannya, adakah dengan wang KWSP yang terkumpul itu dapat menjamin kebahagian hidup di hari usia senja kelak?

Jadi, apa salahnya jika mereka menikmati wang simpanan itu lebih awal sebelum nikmat kesihatan ‘hilang’ kerana umur yang semakin lanjut. – UTUSAN

CUCU TOK JANGGUT, Pulau Pinang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN