SAUDARA PENGARANG,
SAYA ingin mengulas kes seorang doktor pelatih muda yang meninggal dunia ketika menjalani latihan klinikal di Hospital Pulau Pinang, baru-baru ini.
Dikhabarkan ramai doktor muda mengakui berdepan tekanan emosi akibat sikap doktor senior yang membuli, mengherdik di depan pesakit atas sebab tidak munasabah.
Tekanan ini mendorong doktor-doktor muda tersebut bertindak di luar kawalan malah ada yang sanggup meragut nyawa mereka sendiri.
Ada sesetengah doktor muda sanggup menghadapi kata makian bagi memastikan mereka mendapat markah tinggi untuk memperoleh sijil pendaftaran penuh pengamal perubatan tetapi ada juga yang tidak mampu menghadapinya.
Sehubungan itu, bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye mencadangkan aspek penilaian ke atas doktor muda direformasi bagi menamatkan perbuatan membuli sehingga tertekan.
Bagi saya, perbuatan membuli kakitangan terutama yang memerlukan pengesahan jawatan seperti di sektor awam ada berlaku tetapi tidak dihebohkan.
Pengalaman saya dalam bidang pendidikan, tempoh pengesahan jawatan adalah selama tiga tahun yang umpama kerahan tenaga. Kita mengikut sahaja arahan majikan seperti lembu dicucuk hidung.
Apa sahaja arahan orang atasan perlu diikuti tanpa bantahan supaya senang mendapat pengesahan daripada majikan.
Dalam tempoh tiga tahun ini merupakan waktu majikan memperlakukan pekerja baharu seperti hamba seperti dimarahi di khalayak ramai, diperlekehkan serta ugutan akan ditukar atau lambat disahkan ke jawatan tetap.
PELIK
Pelbagai jawatan diberikan dan kerja-kerja yang belum pernah dibuat pun diserahkan kepada kita.
Yang peliknya majikan tidak berbincang tentang bidang kerja yang boleh atau tidak mampu dilakukan kerana pekerja baharu tiada pengalaman.
Bagi saya, sikap majikan sebegini adalah tidak berperikemanusiaan dan tidak seharusnya dilantik sebagai ketua sesebuah jabatan.
Selain itu, kebajikan pekerja dalam tempoh tiga tahun itu tidak diberi perhatian oleh majikan dan kakitangan baharu akan tertekan kerana dibuli oleh majikan.
Umpamanya, saya pernah dimarahi oleh majikan di hadapan kawan-kawan kerana meminta balik awal untuk membawa anak yang sakit ke hospital dan tidak hadir bertugas beberapa hari kerana kemalangan motosikal.
Walaupun tangan berbalut kerana terseliuh, namun majikan tidak bertanya pun hal tersebut. Inilah serba sedikit kisah saya sewaktu mula-mula memasuki alam pekerjaan yang mana untuk mendapat pengesahan jawatan terpaksa berkorban fizikal dan mental.
Malah, maruah diri perlu dikorban akibat majikan atau ketua yang bersikap mementingkan diri dan tidak memikirkan hak serta kebajikan orang lain.
Mereka lupa bahawa pekerjaan yang ikhlas itu satu ibadah untuk meraih pahala bukannya dosa.
Kepada ketua atau pekerja senior yang lebih berpengalaman, bimbinglah pekerja baharu di tempat anda dengan sebaik-baiknya. Ikutlah resmi (sifat semula jadi) padi, makin berisi makin tunduk. – UTUSAN
PESARA GURU, Pahang