Pantau platform hiburan berbayar

Pantau platform hiburan berbayar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MASALAH keruntuhan akhlak golongan muda pada masa kini berpunca daripada kewujudan kemudahan capaian kepada pelbagai genre hiburan yang dikategorikan sebagai softcore pornographic (pornografi lembut).

Ini termasuk hiburan yang memaparkan model memakai pakaian dalam dan adegan yang memberi penekanan pada penghargaan bentuk tubuh wanita dan lelaki. Hiburan sedemikian ternyata memberi impak buruk terhadap minda anak muda yang berada pada tahap ingin tahu yang sangat tinggi.

Dalam pada itu, platform hiburan berbayar juga dilihat cuba menormalisasikan kandungan rancangan bersifat pornografi lembut seperti mendedahkan anggota badan yang tidak sesuai ditonton umum dan menayangkan babak ranjang.

Platform sedemikian yang boleh ditonton secara terus melalui telefon bimbit dan televisyen akan menjadi ancaman kepada pegangan agama jika tidak dikawal. Ia boleh memberi kesan negatif kepada pelajar sekolah kerana mereka ialah generasi muda yang sedang mencari identiti tersendiri.

Di negara-negara Barat, platform sedemikian telah banyak menyebarkan fahaman seks yang keliru dan keganasan melampau. Nampaknya fahaman seperti itu sudah menghampiri sempadan benua Asia.

Kesan daripada pengaruh media yang tidak bertanggungjawab menyebabkan standard moral remaja di Asia semakin merosot.

Sewajarnya platform hiburan berbayar ini dipantau lebih rapat oleh pihak berwajib bagi memastikan hanya rancangan berfaedah dan ditapis ditawarkan kepada masyarakat. – UTUSAN

MUHAMMAD HAFIZI ZAMRI & DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN