Orang kaya Malaysia pun ‘ketagihan’ subsidi - Utusan Malaysia

Orang kaya Malaysia pun ‘ketagihan’ subsidi

WAJARKAH golongan berpendapatan tinggi turut menikmati subsidi minyak? - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, kita dikejutkan dengan pendedahan golongan berpendapatan tinggi (T20) adalah penerima utama program subsidi bahan api kerajaan.

Daripada anggaran RM4 bilion yang dibelanjakan kerajaan untuk subsidi bahan api antara Januari dan Mac tahun ini, lebih separuh daripadanya dinikmati oleh golongan T20 yang merupakan 20 peratus teratas orang terkaya dalam negara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan bahawa bagi setiap RM1 yang dibelanjakan untuk subsidi bahan api, 53 sen dinikmati oleh kumpulan T20 dan hanya 15 sen dinikmati golongan B40 yang merupakan kelompok 40 peratus terbawah dari segi pendapatan.

Ini bermakna lebih RM15 bilion subsidi bahan api akan disalurkan kepada golongan T20 di negara ini kerana kerajaan dijangka membelanjakan lebih kurang RM30 bilion untuk subsidi bahan api tahun ini.

Ini tidak masuk akal! Subsidi kerajaan adalah untuk kumpulan yang memerlukannya iaitu golongan berpendapatan sederhana (M40) dan B40.

Patutkah seseorang yang memandu kereta BMW untuk membawa keluarga bercuti di pusat peranginan pantai yang mewah menikmati subsidi bahan api sama seperti seseorang yang berulang-alik ke tempat kerja menggunakan motosikal buruk dan hanya dibayar gaji minimum?

Apabila sempadan negara kita dibuka semula baru-baru ini, ramai yang marah apabila beberapa kenderaan berdaftar di Singapura dilihat mengisi minyak RON95 di stesen minyak. Ini berlaku kerana RON95 mendapat subsidi sangat besar daripada kerajaan Malaysia manakala RON97 tidak disubsidi.

Kita tidak puas hati kerana ada segelintir rakyat Singapura yang mengambil kesempatan daripada subsidi bahan api yang ditujukan untuk rakyat Malaysia sahaja.

Mereka yang datang dari negara lebih kaya seperti Singapura tidak sepatutnya menikmati subsidi ini yang ditanggung dengan wang cukai rakyat Malaysia.

SAKSAMA

Hujah sama juga patut digunakan untuk rakyat Malaysia. Mengapakah T20 perlu menikmati subsidi bahan api, malah mendapat lebih daripada mereka yang berpendapatan rendah? Ini tidak masuk akal kerana subsidi adalah satu bentuk pengagihan kekayaan.

Jika kita dapat mengurangkan jumlah subsidi yang dinikmati oleh T20, penjimatan itu boleh digunakan untuk membantu kumpulan B40 dan M40 dalam mewujudkan satu masyarakat yang lebih saksama.

Saya faham Kementerian Kewangan dan kerajaan sekarang telah mewarisi sistem subsidi ini. Terpaksa diakui, kita memang sudah dibiasakan untuk menerima subsidi. Sistem ini mungkin berkesan pada masa lalu tetapi tidak sesuai lagi sekarang.

Mana-mana pakar ekonomi pun akan berkata bahawa subsidi berpanjangan adalah tidak cekap dan kurang produktif. Semakin lama ia kekal, semakin sukar untuk melepaskan rakyat Malaysia daripada ‘ketagihan’ subsidi.

Disebabkan ketegangan geopolitik semasa, harga minyak dunia telah mencecah paras tertinggi dalam lima tahun terakhir.

Malangnya, pendapatan tambahan daripada minyak ke dalam tabung kerajaan ‘dineutralkan’ dengan subsidi minyak ini. Jangan lupa, kerajaan juga memberi subsidi untuk ayam dan telur, serta untuk tarif elektrik.

Tabung kerajaan bukanlah satu lubang yang tidak berdasar. Bantuan kerajaan ada hadnya, terutamanya setelah banyak dibelanjakan dalam dua tahun yang terakhir ini untuk membantu rakyat semasa pandemik Covid-19.

Sudah tiba masanya kerajaan mencari alternatif kepada subsidi menyeluruh ini dan memastikan pengagihan bantuan yang lebih saksama dan bersasar. – UTUSAN

ROSLI BAKAR, Muar, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN