Mahu TV3 siarkan semula Pi Mai Pi Mai Tang Tu - Utusan Malaysia

Mahu TV3 siarkan semula Pi Mai Pi Mai Tang Tu

SITKOM Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang pernah ditayangkan TV3 bukan sahaja menghiburkan malah sarat dengan pengajaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEBAGAI penonton setia rancangan-rancangan terbitan TV3, saya berpendapat pihak penerbit rancangan perlu mengembalikan semula tayangan Pi Mai Pi Mai Tang Tu.

Rancangan itu merupakan sebuah sitkom popular yang pernah disiarkan di TV3 sebelum ini dan mendapat jumlah tontonan yang tinggi.

Sitkom komedi yang mengisahkan kehidupan seharian penduduk di Flat Seri Wangi dilakonkan oleh Imuda, Allahyarham Zami Ismail, Wan Maimunah, Khatijah Tan, Sabri Yunus, Allahyarham Ahmad Busu, Sulaiman Yassin, Datin Marlia Musa, Angeline Tan, Sathiya dan mendiang Accapan pernah satu ketika dahulu mewarnai hari-hari penonton setia rancangan itu.

Rancangan ini disiarkan selama 17 musim dengan 1,210 episod dan pernah dipentaskan sebagai pementasan muzikal pada 2006 serta dijadikan siri komik mingguan di dalam sebuah akhbar bahasa Melayu.

Permintaan ini ekoran saya menyedari bahawa TV3 tidak lagi menyiarkan rancangan seperti ini yang bukan sahaja menghiburkan tetapi terselit nasihat sebaliknya stesen televisyen swasta itu banyak diisi dengan drama berkisahkan percintaan orang muda yang sangat klise.

Malah, drama-drama yang ditayangkan kurang ‘umph’ disebabkan ia dilakonkan oleh pelakon baharu yang ‘kayu’ dan mengikut skrip sepenuhnya selain hanya mengharapkan paras rupa.

Saya percaya ramai yang merindui program-program berkualiti yang pernah ditayangkan oleh pihak TV3 sebelum ini.

Malah saya yakin Pi Mai Pi Mai Tang Tu masih ada pengikutnya dan boleh mendapat jumlah tontonan yang tinggi. – UTUSAN

MAT DERIS, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN