Kanak-kanak perlu kasih sayang tanpa sempadan

Kanak-kanak perlu kasih sayang tanpa sempadan

KEPERLUAN serta perlindungan terhadap kanak-kanak berubah dan bertambah kompleks seiring perubahan masa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KANAK-KANAK merupakan modal insan penting kepada negara. Sehubungan itu, perlindungan terhadap kanak-kanak daripada pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi adalah satu aspek penting dan hendaklah diberi keutamaan. Justeru, dasar perlindungan kanak-kanak amat perlu pada masa kini bagi menggalakkan setiap agensi, organisasi dan masyarakat memberi keutamaan terhadap isu ini.

Dasar ini adalah selaras dengan falsafah Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) dan Akta Kanak-Kanak 2001.

Pencegahan dan memberi kesedaran kepada ibu bapa, ahli keluarga dan masyarakat bagi melindungi kanak-kanak daripada pihak atau individu tidak bertanggungjawab perlu dipergiatkan. Isu keselamatan kanak-kanak perlu diutamakan dalam pelbagai program termasuk dalam media.

Dasar perlindungan kanak-kanak yang menekankan aspek advokasi ialah menerap dan memupuk kesedaran tentang pentingnya tanggungjawab melindungi kanak-kanak kepada semua lapisan masyarakat termasuk mewujudkan perkongsian pintar dengan media dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk sektor swasta dan organisasi masyarakat.

Tanggungjawab ini bukan sahaja terpikul di bahu ibu bapa dan keluarga terdekat sebaliknya kesedaran komuniti serta masyarakat media sosial akan membantu hasrat kerajaan melindungi kanak- kanak daripada segala penganiayaan, kezaliman dan eksploitasi.

Mereka adalah generasi pelapis bagi sesebuah negara. Jadi, seluruh anggota masyarakat mestilah mengambil berat, prihatin dan mempunyai persediaan dari segi ilmu pengetahuan khususnya sudut psikologi dan mental agar dapat menangani pelbagai isu yang timbul disebabkan berdepan dengan tanggungjawab mendidik, menjaga, melindungi serta mengasuh kanak-kanak ini.

Pendidikan juga merupakan satu daripada hak kanak-kanak selain daripada keperluan rohani, emosi, jasmani dan diberikan perlindungan tempat tinggal, pakaian, makan dan minum. Pada era kini, sedarkah kita bahawa kanak-kanak juga ada hak terhadap mendapat pendidikan secara dalam talian? Ini bermakna orang dewasa perlu melaksanakan tanggungjawab ini.

Isu yang berlaku baru-baru ini berkaitan penderaan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) sangat berbekas kepada semua golongan. Seharusnya pihak-pihak yang bertanggungjawab peka akan darjah kebolehtanggungjawaban mental, fizikal serta psikologi seseorang dalam menjalankan amanah sebagai seorang penjaga, pengasuh malah ibu bapa kepada anak-anak istimewa ini.-UTUSAN

JESSICA ONG HAI LIAW & RABI’AHTULADAWYAH MD. SALEH
Pakar psikologi bahasa di Universiti Pertahanan
Nasional Malaysia (UPNM) & Perancang Bahasa di
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN